‘Perang’ jiran tak berkesudahan angkara najis kucing merata-rata

Iklan
Kisah pergaduhan jiran tetangga kerana isu tahi dan kencing kucing banyak diceritakan di media sosial, bahkan turut menjadi perbalahan dalam grup WhatsApp penduduk. Foto hiasan

KONFLIK antara pemilik kucing dengan jiran tetangga ketika ini tidak menunjukkan sebarang titik noktah, sama seperti konflik peperangan yang berlaku melibatkan negara haram Israel dengan Palestin.

Bukanlah Merak Jalanan nak melebih-lebih dengan mengaitkan peperangan itu dengan perang antara jiran hanya kerana disebabkan haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW itu, tetapi ini melibatkan tiada rasa tanggungjawab pemilik kucing.

Iklan
Iklan

Kisah pergaduhan jiran tetangga kerana isu tahi dan kencing kucing banyak diceritakan di media sosial, bahkan turut menjadi perbalahan dalam grup WhatsApp penduduk yang tidak berpuas hati kerana terpaksa membersihkan laman dan tangga rumah setiap hari.

Pemilik kucing, hanya berdiam diri. Pencinta kucing pula bersuara mengatakan jangan menganiaya kucing itu sambil mengeluarkan ayat:"Apalah sangat kerja mencuci kalau dibandingkan dengan ganjaran di akhirat kelak.”

Iklan

Apabila ada jiran bersuara mencadangkan supaya kucing terbiar ditangkap dan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), pencinta-pencinta haiwan mulalah bising.

Bagi Merak Jalanan, tidak salah kalau nak bela kucing, bahkan ia adalah satu perbuatan mulia.

Iklan

Namun, pemilik kucing perlulah menjaganya dengan penuh tanggungjawab. Perlulah melatih haiwan peliharaan mereka supaya ‘membuang’ di tanah sendiri, bukannya bermaharajalela di tanah orang lain.

Merak Jalanan sendiri setiap hari berdepan dengan isu serupa. Terpaksa tahan nafas dan berhati-hati dengan langkah, takut-takut terpijak ‘periuk api’.

Cuma, apakah yang perlu dilakukan pihak berwajib untuk mengatasi masalah ini? Nak mengharapkan persatuan penduduk, langsung tiada fungsi.

Atau mungkin tiba masanya untuk mewajibkan kucing peliharaan memakai mikrocip sama seperti Thailand supaya mudah untuk mengesan pemilik kucing yang lepas tangan.