TANJUNG MALIM - Pasangan suami isteri dan rakan mereka berdepan dengan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Slim River pada Jumaat atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 51.9 kg minggu lalu.
Tertuduh, Mohammad Amirul Samsudin, 27, dan isteri, Zaharah Farhana Zamri, 26, serta rakan mereka Muhammad Firdaus Nazeri, 25, masing-masing dari Perlis bagaimanapun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, G Phulrani Kaur namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan itu di parkir sebuah pasar raya di Pusat Perniagaan Slim Perdana, Jalan Perdana, Slim River di sini jam 3.35 petang pada 11 November 2024.
Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Nor Syahirah Azahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 24 Januari depan untuk sebutan semula kes dan laporan kimia sementara tertuduh tidak ditawarkan jaminan.
Pada 14 November lalu, media melaporkan polis menahan tiga individu termasuk sepasang suami isteri selepas menemukan 50 bungkusan plastik disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat lebih 51kg dalam kereta yang dinaiki mereka di Pusat Perniagaan Slim Perdana dekat Slim River di sini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, kereta Proton Preve yang disewa suspek itu ditahan pihaknya dengan kerjasama JSJN Kontinjen Perak dan Perlis di kawasan tempat letak kereta pada jam 3.35 petang.
Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah menyeludup masuk bekalan dadah dari negara jiran dan diedarkan untuk pasaran tempatan di sekitar Lembah Klang dengan menggunakan jalan darat.