Penuntut tahun tiga UPNM tidak mengaku pijak junior guna but 'spike'

Iklan
Mohd Adil yang memakai baju kemeja putih dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat, bagi menghadapi pertuduhan kes mencederakan pelajar tahun satu UPNM, bulan lalu.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penuntut tahun tiga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan memijak pelatih tahun satu, menggunakan kasut but 'spike', bulan lalu.

Mohd Adil Awang Ghani, 22, yang memakai baju kemeja putih, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Noorelynna Hanim Abd Halim.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, pemuda itu dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Haziq Iqbal Ahmad Rashidi, 19, iaitu memijak perut mangsa dengan memakai kasut but 'spike'.

Kesalahan didakwa dilakukan padang kawad, Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, Kem Sungai Besi, di sini pada jam 10.45 malam, 21 Oktober lalu.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau didenda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Iklan

"Ia termasuk syarat tambahan tidak menggangu saksi pendakwaan yang terdiri daripada mangsa, pegawai UPNM dan rakan pelatih kadet tertuduh sendiri," katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Diyana Basher merayu kadar itu dikurangkan dengan alasan dia baru sahaja tamat pengajian di universiti terbabit dan kini masih di peringkat menjalani latihan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Noorelynna membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan mematuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 10 Februari depan.

Sebelum ini, media melaporkan, satu lagi kejadian buli berlaku di universiti itu, membabitkan pelatih tahun satu yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan belakang.

Kejadian dilaporkan pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang pelajar tahun dua universiti sama, ditekap seterika oleh penuntut tahun empat.

Pihak polis berkata, ketika kejadian mangsa berada di tepi padang kawad setelah selesai sesi panggil nama.

Mangsa yang berusia 19 tahun, dilaporkan mengalami kecederaan terbabit dipercayai akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga.