SHAH ALAM - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), Shahul Hameed Shaik Dawoo dikembalikan ke tugas asal selepas nama beliau tidak disebut dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, tidak adil untuk menuding jari kepada individu tertentu sehingga laporan atau keputusan akhir dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa.
Menurutnya, ia ditambah indvidu berkenaan tiada di dalam Dewan Rakyat untuk mempertahankan diri.
"Nama yang disebut itu di Dewan ini, yang pertama tidak disebut dalam apa-apa laporan.
Keduanya, dia tidak ada di sini untuk mempertahankan diri dan saya nak kata laporan yang telah diserahkan ke SPRM ini adalah untuk apa-apa sekali kesalahan khususnya telah dibangkitkan dalam laporan-laporan audit itu.
"Jadi, tidak semestinya individu itu atau ini bersalah.
Sudah tentu kita ambil tindakan tegas ke atas mana-mana orang yang didapati bersalah selepas ini," ujarnya dalam Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mengenai alasan Shahul dikembalikan ke tugas CEO dan tidak melantik orang baru.
Pada 5 Julai lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Khairul Dzaimee Daud dan Shahul menyerahkan laporan pengurusan HRD Corp kepada SPRM.
Shahul sebelum ini mengambil cuti sementara agensi penguat kuasa SPRM menjalankan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dalam HRD Corp.
Tambah Steven, beliau menyambut baik semangat RSN Rayer itu.
"Namun, saya berharap bukan sahaja tadi dia menyebut butiran yang salah, tetapi juga saya harap beliau baca juga laporan-laporan yang beliau ketengahkan," jelasnya.