GEORGE TOWN - Gangguan bekalan air yang agak kerap dan bekalan air yang terhad terutama bagi kegunaan perindustrian merupakan salah satu cabaran yang dihadapi kerajaan Pulau Pinang untuk menjadikan negeri ini sebagai Lembah Silikon Timur.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, masalah itu sedikit sebanyak telah menjejaskan keyakinan pelabur untuk melabur di Pulau Pinang.
Menurutnya, selain cabaran tersebut, harga tanah perindustrian yang tinggi serta kekurangan tanah perindustrian yang bersaiz sekurang-kurangnya 80.9 hektar pada setiap masa menyebabkan pelabur mempunyai pilihan yang sangat terhad untuk memilih tapak projek.
"Antara cabaran lain adalah peningkatan kos menjalankan perniagaan seperti kenaikan harga tanah, cukai taksiran, tenaga elektrik dan bekalan air menjadikan Pulau Pinang lokasi yang kurang menarik untuk para pelabur.
"Kesesakan lalulintas terutama pada waktu puncak dan masalah kekurangan bakat juga merupakan cabaran buat kita. Banjir kilat di sesetengah kawasan utama seperti Bayan Lepas, Bayan Baru dan Sungai Ara juga cabaran buat kita," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Jumaat.
Kon Yeow (DAP- Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubok) mengenai cabaran yang perlu dihadapi kerajaan negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai Lembah Silikon Timur.
Dalam pada itu, beliau berkata, penerbangan antarabangsa yang terhad di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang juga cabaran bagi kerajaan negeri untuk mencapai matlamat tersebut.
"Kita juga menghadapi persaingan sengit untuk menarik pelaburan asing dari negara lain seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia.
"Sementara bagi sektor ekonomi digital, kekangan atau cabaran yang dihadapi termasuk kekurangan pejabat gred A atau bangunan MSC Cybercenter yang mampu menampung permintaan pelabur yang tinggi pada masa kini, persaingan dalam penawaran insentif oleh negeri dan negara lain serta kekurangan tenaga kerja mahir yang mencukupi," tambahnya.
Kon Yeow berkata, walaupun menghadapi pelbagai cabaran, kerajaan negeri bersama-sama kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi sentiasa bekerjasama dalam memastikan cabaran-cabaran yang dihadapi dapat diatasi sepenuhnya bagi memastikan Pulau Pinang menjadi pilihan utama pelabur tempatan dan antarabangsa.