SHAH ALAM - Penggunaan pengangkutan awam di Selangor semakin mendapat sambutan baik daripada pengguna di mana bilangan jumlah penumpang meningkat dari semasa ke semasa.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, capaian itu direkodkan kerajaan Selangor melalui pelaksanaan inisiatif seperti Bas Smart Selangor dan van transit atas permintaan (Demand-Responsive Transit –DRT).
Jelasnya, berdasarkan data terkini, purata penggunaan harian pengangkutan awam di Selangor adalah sekitar 1.1 juta penumpang.
"Ini termasuk perkhidmatan yang dikendalikan oleh Prasarana Malaysia Berhad seperti LRT, MRT, Monorel dan bas," ujarnya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) mengenai apakah progress pencapaian sasaran 60 peratus penggunaan pengangkutan awam bagi negeri Selangor.
Selain itu, ujar Sze Han, projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan kawasan Bandar Utama, Petaling Jaya hingga Johan Setia, Klang yang dijangka beroperasi mulai 1 Mac 2025 juga akan memberikan impak yang positif terhadap peningkatan penggunaan pengangkutan awam oleh orang ramai.
"Walau bagaimanapun, masih terdapat perkara yang perlu ditambah baik merangkumi penyediaan infrastruktur dan kesalinghubungan (connectivity) rangkaian pengangkutan awam di negeri Selangor.
"Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri Selangor begitu komited untuk mencapai sasaran 60 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang tahun 2035," ujarnya.