Tidak adil hukum keseluruhan industri vape - DPVM

Iklan
Kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap vape melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan bermula 1 Oktober lepas. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ridhwan)

KUALA LUMPUR - Tidak adil menghukum keseluruhan industri rokok elektronik atau vape apabila mengaitkannya dengan masalah sosial seperti penagihan dadah yang semakin meluas di negara ini.

Setiausaha Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkata, isu sosial terkini telah disalah tafsir dan akan menimbulkan masalah lebih besar jika tidak diselesaikan dengan tepat.

Iklan
Iklan

Ridhwan berkata, pihaknya menyokong keperluan penguatkuasaan dan kawal selia yang lebih tegas, tetapi menggesa agar tumpuan diberikan kepada masalah yang tepat.

"Tidak adil untuk menghukum industri vape. Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Isu yang dibangkitkan baru-baru ini adalah serius dan DPVM menyokong penguatkuasaan yang lebih kerap oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi-agensinya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau turut memohon budibicara orang ramai untuk memberi fokus kepada masalah yang ditampilkan baru-baru ini dan berharap isu yang tepat akan ditangani agar tidak menjejaskan industri yang lain.

Katanya, ramai peniaga menyokong peraturan di bawah Akta 852 agar produk di pasaran adalah selamat untuk penggunaan orang dewasa kerana berdasarkan kajian 2023 melaporkan lebih daripada 30 peratus pengguna vape telah berhenti merokok sepenuhnya.

Iklan

"Untuk mengatakan penggunaan vape secara meluas menyebabkan isu sosial adalah tidak tepat kerana ia akan menjejaskan keseluruhan industri yang majoritinya diusahakan golongan bumiputera,” katanya.

Baru-baru ini, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan pengharaman total terhadap penggunaan vape di negeri itu susulan kebimbangan baginda akan penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat di Pahang terutama dalam kalangan belia berdasarkan statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Titah baginda, antara punca utama golongan muda terjebak ketagihan dadah secara langsung dan didapati bermula dengan penggunaan vape.

Sebelum ini, Johor dilapor telah melaksanakan larangan menjual vave dan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang menjualnya secara terbuka.

Sementara itu, Ridhwan turut mengulas tentang ketidakseragaman dalam pelaksanaan undang-undang antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

Beliau berkata, Akta 852 diwujudkan untuk memastikan kawal selia yang jelas bagi produk vape namun agak menghairankan apabila Menteri Kesihatan berkata kerajaan negeri diberi kebebasan untuk menentukan dasar masing-masing.

"Kami telah memerhatikan kesan negatif aplikasi undang-undang yang berbeza atas industri vape di peringkat tempatan sebelum Akta 852 diumumkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM). Daripada mengekang penggunaan, realiti sebaliknya telah berlaku kerana ketidakseimbangan penguatkuasaan mengakibatkan kekerapan penyeludupan dan penjualan produk vape yang tidak selamat.

"KKM telah mengumum kawalan dari segi bahan cecair, bentuk, pembungkusan dan pelabelan. Kami menggesa semua pihak berkuasa yakin dengan peraturan dan proses KKM yang terkini dan mencerminkan dasar kebangsaan ini di peringkat kerajaan tempatan,” katanya.

Tegasnya lagi, penyelesaian paling rasional adalah kawal selia yang selaras di seluruh negara, dan bukan yang berbeza di antara satu tempat dengan yang lain.

"Pengharaman hanya akan menggalakkan pasaran gelap vape kerana tanpa proses permohonan kelulusan, pihak berkuasa tidak dapat mengesan dan memantau antara produk yang sah dengan yang tidak.

"Untuk memastikan situasi ini dihentikan, kami berharap semua pihak berkuasa yakin dengan peraturan dan proses KKM supaya produk di kedai jualan adalah sah dan selamat untuk digunakan,” kata Ridhwan.

Oleh yang demikian, katanya, DPVM menggesa pihak kerajaan untuk mengambil pendekatan holistik dalam menangani isu ini dan tindakan yang diambil perlu bersifat menyeluruh serta menangani isu sosial yang tepat.