SHAH ALAM - Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerusi Kempen Year End Zakat 2024 (YEZ) mengajak masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan segera menunaikan zakat sebelum atau pada 31 Disember 2024.
PPZ-MAIWP dalam satu kenyataan berkata, kempen yang bermula 15 November hingga 31 Disember 2024 turut menyediakan pelbagai perkhidmatan serta saluran bayaran bagi memudahkan orang ramai menunaikan ibadah zakat di samping pembayar boleh menikmati 100 peratus rebat cukai pendapatan taksiran.
Menurutnya, dengan bertemakan ‘Bahagia Memberi’, kempen tersebut bertujuan mendidik masyarakat untuk saling memberi dan berkongsi rezeki.
"Pelbagai pengisian menarik disediakan seperti Karnival Year End Zakat x Pasar Saloma yang akan berlangsung selama empat hari bermula 28 November hingga 1 Disember 2024 dengan pelbagai pengisian menarik serta lebih 100 gerai jualan menanti pengunjung.
"Pada karnival itu juga turut diadakan Hari Bersama Pembayar dan cenderamata istimewa pada setiap hari Jumaat dan sembilan hari terakhir bulan Disember.
"Selain itu terdapat program Berkat Niaga iaitu perkhidmatan pengiraan zakat ke premis-premis perniagaan sepanjang kempen manakala 'Year End Zakat Tour' pula membawa kaunter zakat dan wakaf bergerak ke kawasan sekitar Wilayah Persekutuan.
"Terdapat 'Program RM5 Rewards' bagi memberikan ganjaran RM5 kepada pembayar zakat melalui aplikasi Touch n Go,” katanya pada Khamis.
Mengulas lanjut, PPZ-MAIWP berkata, sebanyak 10 kaunter akan beroperasi setiap hari sepanjang Disember termasuk cuti umum bermula jam 8 pagi hingga 4.45 petang manakala Jumaat pula sehingga 9 malam.
Namun, pada 23 hingga 31 Disember pula kaunter akan dibuka pada 8 pagi hingga 9 malam.
Tambahnya, terdapat kaunter zakat bergerak atau Amil to You yang menyediakan perkhidmatan kepada pembayar secara peribadi namun perlu melakukan temu janji menerusi mytemujanji.zakat.com.my.
Lebih istimewa, orang ramai yang membuat bayaran zakat sepanjang kempen itu berlangsung berpeluang memenangi lebih 1,500 hadiah menarik seperti pakej umrah, baucar percutian, skuter elektrik dan pemenang akan dipilih berdasarkan cabutan tertakluk kepada terma serta syarat.
"PPZ-MAIWP mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MC kerana menjadi penaja utama bagi Kempen YEZ dan karnival pada tahun ini.
"Turut menjadi penaja Kempen YEZ tahun ini ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Affin Bank Berhad, Kedai Emas Merchant9, dan Fa Izin International Travel and Tours Sdn Bhd.
"Di kesempatan ini, PPZ-MAIWP ingin mengajak orang ramai agar segera tunaikan zakat tanpa menunggu saat-saat akhir bagi mengelakkan kesesakan di kaunter dan terlepas peluang untuk mendapat rebat cukai pendapatan,” katanya.