SHAH ALAM - Kerajaan negeri dalam perancangan menyediakan sebuah pelan pengangkutan awam komprehensif dengan memberi tumpuan kepada pembangunan dan penyediaan perkhidmatan jaringan pengangkutan menyeluruh serta memenuhi keperluan 'First Mile, Last Mile' connectivity.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, pelan ini tidak hanya memfokuskan kepada mod pengangkutan seperti bas, rel, teksi, atau e-hailing sahaja.
"Ia juga merangkumi semua aspek pengangkutan dalam satu ekosistem yang melibatkan infrastruktur lain seperti perhentian bas, hab pengangkutan awam, mikro mobiliti, e-skuter dan laluan pejalan kaki," katanya ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Jumaat.
Sze Han yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) mengenai strategi blueprint pengangkutan awam di Selangor.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pada masa ini terma rujukan (TOR) untuk kajian Pelan Induk Mobiliti Negeri Selangor sedang dalam peringkat akhir penyediaannya.
Ujarnya, sesi bengkel bersama semua pihak berkuasa tempatan (PBT) Negeri Selangor dengan Jabatan Teknikal telah diadakan pada 1 hingga 4 Ogos 2024 bagi membincangkan TOR bagi memastikan kajian yang akan dilaksanakan adalah menyeluruh.
"Ia termasuk dengan mengambil kira dasar, strategi dan garis panduan berkaitan sama ada yang merangkumi di peringkat negeri, negara dan antarabangsa selain memberi penekanan terhadap isu-isu pengangkutan awam dihadapi oleh setiap PBT.
"Juga memberi fokus kepada usaha kerajaan negeri untuk mempertingkatkan aksesibiliti kepada perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih selesa dan efisien kepada rakyat negeri ini," ujarnya.