Malaysia perlu tindakan strategik urus risiko perubahan iklim

Iklan
Perubahan iklim berpotensi memberi kesan negatif terhadap kemakmuran, keselamatan tenaga dan keselamatan fizikal negara dalam jangka masa panjang. Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Malaysia merupakan negara berkuasa pertengahan yang memerlukan tindakan strategik yang lebih besar dalam menguruskan risiko iklim jangka panjang.

Menurut Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), perubahan iklim berpotensi memberi kesan negatif terhadap kemakmuran, keselamatan tenaga dan fizikal negara dalam jangka masa panjang.

Iklan
Iklan

"Situasi ini bertambah parah apabila kuasa besar dengan pelepasan gas rumah hijau terbesar boleh bertindak sama ada untuk mengurangkan atau memburukkan lagi risiko iklim bagi seluruh dunia.

"Oleh itu, pendekatan Malaysia terhadap tindakan iklim perlu merangkumi strategi lindung nilai untuk mengambil kira senario terburuk, di mana multilateralisme gagal mencapai sasaran 1.5 darjah Celsius dalam Perjanjian Paris," katanya pada Jumaat.

Iklan

Laporan itu dikeluarkan dalam satu kenyataan bersama oleh penyelidik KRI, Yin Shao Loong, Khoo Wei Yang, Siti Nooraznie Abdul Rahim (Contract Research Associate) dan Wan Amirah Wan Usamah.

Mengulas lanjut, KRI memaklumkan, pelaburan bukan matlamat utama strategi iklim negara tetapi fokus diberikan kepada daya tahan iklim jangka panjang untuk Malaysia.

Iklan

Tambahnya, strategi iklim negara perlu memberi tumpuan kepada pembinaan daya tahan dan keselamatan iklim dalam negara agar ia dapat melindungi syarat yang membolehkan pembangunan mampan negara di masa hadapan.

Menurut laporan tersebut, dasar perindustrian menawarkan pelbagai jenis tindakan yang lebih berkesan untuk menyokong peralihan iklim berbanding alat dasar iklim konvensional seperti penetapan harga karbon.

"Tanggungjawab Malaysia dalam menyebabkan pemanasan global adalah kecil tetapi negara ini tidak terlepas daripada risiko fizikal. Pada 2019, sumbangan Malaysia kepada pelepasan karbon kumulatif global adalah sekitar 0.37 peratus dengan pelepasan per kapita sebanyak 8.2tCO2.

"Ini kerana kawasan takungan karbon terbesar di Malaysia menyerap hampir separuh daripada jumlah pelepasan negara, walaupun sumbangan pelepasan global adalah rendah.

"Namun, unjuran iklim di bawah senario emisi pelepasan tinggi menunjukkan kita terdedah kepada peningkatan suhu yang tinggi, jumlah hujan lebih besar dan kemungkinan kejadian cuaca ekstrem.

"Jika pelepasan global terus berada pada trajektori semasa, Malaysia berkemungkinan menghadapi risiko iklim lebih besar, bukan sahaja dari segi bahaya iklim seperti banjir dan kenaikan paras laut, tetapi juga dalam aktiviti harian yang terdedah kepada risiko seperti tekanan haba," jelas laporan itu.

Tambahnya, kerentanan Malaysia terhadap perubahan iklim menonjolkan jurang kritikal dalam rangka dasar negara dan strategi semasa perlu berkembang untuk memenuhi keperluan masa hadapan.

Menurut KRI, tadbir urus berbelah dan pendekatan daripada atas ke bawah dengan kurangnya penyelarasan serta penglibatan di peringkat tempatan telah mengehadkan usaha adaptasi yang berkesan.

"Tumpuan pelaksanaan adaptasi lebih kepada bencana berimpak tinggi jangka pendek, manakala risiko iklim jangka panjang dan kerentanan sosio-ekonomi terutamanya di kawasan pantai masih kurang ditangani.

"Memperkukuh integrasi dasar, memperkasakan pihak berkuasa negeri dan tempatan, serta mengamalkan penyelesaian berasaskan alam semula jadi adalah langkah penting untuk membangunkan pelan adaptasi yang proaktif.

"Pendekatan yang berasaskan keadilan diperlukan dalam dasar iklim untuk mengurangkan kesan pengagihan akibat perubahan iklim," katanya.

Bagaimanapun, KRI memaklumkan bahawa Malaysia bukanlah penyumbang besar bersejarah pelepasan karbon mahupun sebuah negara yang sangat maju.

Namun, ujarnya, laporan berkenaan mendapati bahawa berdasarkan pelepasan bersih, Malaysia komited 165 peratus lebih tinggi daripada bahagian keperluan mitigasi global yang sepatutnya.

"Dalam usaha peralihan ke karbon rendah, Malaysia harus mengurangkan risiko pengagihan untuk mengelakkan beban kepada golongan rentan atau menghalang perkembangan perniagaan kecil.

"Sistem pengurusan matlamat yang fleksibel membolehkan penyesuaian berdasarkan objektif sosial dan iklim, sekali gus memastikan pembinaan institusi iklim yang adil.

"Terdapat keperluan untuk menilai semula dasar dan tindakan iklim Malaysia, beberapa tindakan utama diperlukan dalam menangani cabaran dihadapi Malaysia iaitu memperkukuh strategi iklim negara untuk mencerminkan kepentingan teras nasional, memperkuat rangka kerja dasar iklim semasa, menangani kesan iklim jangka panjang dan melaksanakan dasar iklim berasaskan keadilan," katanya.