GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan mengambil beberapa langkah untuk mengatasi masalah selut tebal dan berbau busuk di Pantai Esen di Batu Maung.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S Sundarajoo berkata, satu mesyuarat akan diadakan bersama Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari untuk membincangkan perkara tersebut.
"Kita pernah bermesyuarat dan akan mengadakan satu lagi mesyuarat dengan konsultan serta kontraktor projek untuk membincangkan beberapa cadangan tindakan yang boleh diambil.
"Saya mengambil maklum tentang masalah ini yang mana saya sendiri turun padang dua minggu lalu. Memang berlaku selut tebal. Kita tidak menolak kemungkinan ia disebabkan oleh projek tambakan yang berdekatan.
"Semua projek mesti ada kesan sampingan dan kita sebagai kerajaan negeri tidak akan lepas tangan. Beberapa cadangan tindakan sedang dibincangkan," katanya.
Tambah beliau, antara tindakan yang dibincangkan adalah untuk menjalankan sistem pembersihan semula jadi di pesisiran pantai bagi membersihkan kawasan pelancongan berkenaan.
"Antara penyelesaian yang mungkin dibuat adalah mendalamkan kawasan pantai di situ atau membina terusan. Bagaimanapun, ia akan mengambil masa. Perbincangan mungkin mengambil masa sebulan.
"Pelaksanaan kerja fizikal itu mengambil masa tetapi tidak lah sampai enam bulan. Bagi kita sedikit masa," katanya.
Beliau sebelum itu ditemui di luar pekarangan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika menerima memorandum berhubung permasalahan itu.
Memorandum tersebut diserahkan oleh wakil penduduk Pantai Esen, M Annathurai yang turut menyerahkan memorandum tersebut kepada Ketua Pembangkang, Muhammad Fauzi Yusoff bagi membolehkan isu Pantai Esen dibentangkan dalam persidangan Dewan nanti.
Sementara itu, Muhammad Fauzi berkata, beliau akan membawa isu tersebut dalam persidangan DUN Pulau Pinang.
"Saya akan masukkan isu ini dalam ucapan saya bagi membolehkan kerajaan negeri melihat isu ini dengan serius kerana ini adalah projek mereka, maka kerajaan negeri mesti bertanggungjawab.
"Ini kerana Jabatan Alam Sekitar sudah mengenakan 72 syarat dalam surat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk pemaju Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).
"Oleh itu, kita mahu kerajaan negeri bertanggungjawab dan menjaga kebajikan penduduk sekitar selain mereka yang menjalankan perniagaan di situ," katanya.
Sebelum ini, Pantai Esen dilaporkan mengalami pencemaran yang teruk apabila dipenuhi dengan selut tebal selain berbau busuk.
Tempat peranginan tersebut yang dahulunya terkenal dengan keindahan pantainya dan bersih selain pemandangan matahari terbenam yang sangat cantik, kini diibarat 'pantai hantu' kerana tiada pengunjung berikutan air lautnya kotor dan tercemar.
Menurut penduduk di kawasan tersebut, keadaan selut tebal berwarna hitam itu dipercayai berpunca daripada kerja tambakan untuk Projek Pulau Silikon yang dijalankan di kawasan tersebut.
Tambah mereka, sebelum projek tambakan itu dijalankan, air laut akan naik sehingga ke daratan sekiranya musim air pasang besar namun kini, ia seperti tersekat.