LIPIS - Kelebihan Pahang yang memiliki jajaran hutan panjang atau lebih dikenali 'Old Jungle Rail' menjadi produk pelancongan baharu unik dan berbeza di negeri ini menerusi Pahang Rail Tourism 2024.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Tourism Pahang, Tourism Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Unit Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus.
Menurutnya, laluan kereta api di negeri ini terletak di sepanjang Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus melalui zon pelancongan semula jadi.
"Kita promosikan lagi kepada semua pelancong terutamanya datang ke Lipis, Pahang yang memiliki banyak tempat menarik dengan menggunakan kereta api yang telah diubahsuai lebih selesa, menarik dan masanya tepat selain dapat menikmati pemandangan semula jadi.
"Usaha ini dapat meningkatkan pelancong ke Pahang dan itulah tujuan kita, kalau tidak berusaha sebegini kita bimbang negeri-negeri lain ada cara sendiri untuk promosi kehadiran pelancong yang memiliki banyak pilihan.
"Kalau kita kurang promosi dan kemudahan, mereka (pelancong) akan beralih ke tempat lain," katanya.
Beliau berkata demikian sempena perasmian Pahang Rail Tourism 2024 di Stesen KTMB Kuala Lipis di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Pahang, Leong Yu Man dan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohammad.
Jelasnya,perkhidmatan kereta api pada masa kini bukan lagi sekadar pengangkutan semata-mata tetapi ia perlu dipertingkat sebagai sebuah produk pelancongan yang unik dan menarik.
Program itu juga menawarkan 38 pakej melibatkan sembilan agensi pelancongan berdaftar dari seluruh Pahang.
Antara lokasi menarik di sepanjang laluan kereta api ini ialah lokasi geo tapak iaitu Taman Negara Pahang Sungai Relau, Gua Sisik Naga, Gua Tahi Bintang, Bandar Kuala Lipis, Kuala Sungai Lipis dan Taman Eko Rimba Kenong.
Berdasarkan statistik 13.2 juta pelancong telah berkunjung ke negeri Pahang tahun lepas.
Dalam tempoh Januari hingga Jun lalu, kira-kira 5.9 juta pelancong dari dalam dan luar negara telah berkunjung ke Pahang dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM5.3 biilion.