Indonesia tidak akan bawa pulang anggota Daesh

Iklan
Kerajaan Indonesia bertegas tidak akan membawa pulang hampir 700 rakyatnya yang menyertai Daesh di Asia Barat namun akan meneliti semula dan mempertimbangkan untuk membawa balik anak-anak mereka.

BOGOR - Kerajaan Indonesia bertegas tidak akan membawa pulang hampir 700 rakyatnya yang menyertai Daesh di Asia Barat namun akan meneliti semula dan mempertimbangkan untuk membawa balik anak-anak mereka.

Isu itu hangat diperkatakan di negara tersebut selepas Presidennya, Joko Widodo tidak menyokong usaha untuk membawa balik individu disyaki pengganas dan keluarga mereka yang berhijrah ke Asia Barat untuk menyertai Daesh, lapor AFP.

Iklan
Iklan

Menteri Hal Ehwal Keselamatan, Mahfud MD berkata, kira-kira 689 warga Indonesia termasuk wanita dan kanak-kanak yang kini berada di Syria, tidak akan dibawa pulang atas faktor keselamatan kerana Indonesia sering menghadapi ancaman serangan pengganas Daesh.

"Kita membuat keputusan bahawa kerajaan perlu menjamin keselamatan 267 juta penduduk Indonesia dalam hal ini. Jika pengganas ini pulang dari Asia Barat, mereka berisiko menjadi virus baharu yang berbahaya pada negara.

Iklan

"Bagaimanapun, kerajaan sedia mempertimbangkan untuk membawa pulang kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah, berdasarkan kes individu,” katanya selepas perjumpaan dengan presiden di Jakarta.

Dalam pada itu, pakar keganasan, Taufik Andrie berpendapat sebaliknya yang memberitahu, pengganas Daesh itu boleh dibawa pulang untuk deradikalisasi berbanding membiarkan mereka terus menjadi lebih radikal di sana.

Iklan

"Jika kerajaan Indonesia tidak berusaha menanganinya, mereka mungkin digunakan pihak ketiga untuk melancarkan perang proksi terhadap Indonesia atau negara lain,” katanya.

Terdahulu, Indonesia sudah lama bergelut dengan masalah keganasan dan negara itu juga menjadi pangkalan operasi kumpulan yang setia kepada Daesh serta ideologi kejamnya.

Pada 2018, sekeluarga pengebom berani mati yang ada kaitan dengan Daesh, meletupkan bom di beberapa gereja sekitar Surabaya, mengorbankan lebih 12 mangsa.

Tahun lalu, dua pengganas dikaitkan dengan Daesh gagal dalam cubaan membunuh Ketua Menteri Keselamatan Indonesia manakala November lalu, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di sebuah balai polis yang sibuk mengakibatkan lebih 12 mangsa cedera.