KLANG - Ibu bapa yang menghantar anak ke Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Bustanun Nur, Kampung Bukit Kapar di sini 'bergadai nyawa' apabila terpaksa mengharungi jalan berlubang, berlopak dan licin setiap kali melalui Jalan Pasar Malam di sini sejak tiga bulan lalu.
Laluan sepanjang tiga kilometer (km) itu sebelum ini berturap, kini mengalami kerosakan teruk akibat menjadi laluan kenderaan berat yang mengangkut tanah di kawasan kuari berhampiran.
Pengerusinya, Azlan Ayob berkata, ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke Tabika itu perlu berhati-hati menunggang motosikal bagi mengelak terjatuh.
"Keadaan jalan ini semakin teruk terutama pada waktu hujan hingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya," katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Menurut Azlan, penduduk sudah mengajukan perkara itu kepada pihak berwajib, namun sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian.
Ujarnya, penduduk juga bimbang nyawa kanak-kanak di Tabika itu terancam terutama kenderaan berat yang memandu laju di laluan terbabit.
"Terdapat ratusan lori berulang-alik melalui jalan ini dipandu dengan bahaya hingga menimbulkan keresahan kami kerana boleh menyebabkan risiko kemalangan khususnya kepada kanak-kanak Tabika dan ibu bapa yang menghantar mereka, selain penduduk kampung," ujarnya.
Guru Tabika, Siti Aniza Khairuddin, 38, berkata, masalah itu semakin serius apabila terdapat murid mengalami simptom alahan seperti batuk dan selesema akibat habuk daripada kenderaan berat.
Jelasnya, keadaan itu mengundang kerisauan ibu bapa mengenai tahap kesihatan anak-anak mereka setiap kali ke Tabika.
"Saya merayu supaya isu Jalan Pasar Malam ini diberi tumpuan, ia membabitkan soal nyawa dan keselamatan murid," tambahnya
Seorang lagi penduduk, Mohd Fahmizan Mustakim, 44, berkata, selain isu kerosakan teruk di Jalan Pasar Malam, kira-kira 20,000 penduduk di kampung itu juga bimbang dengan masalah sama di Jalan Iskandar sejauh lima kilometer.
Menurut Mohd Fahmizan, keadaan laluan itu mengalami kerosakan teruk akibat menjadi laluan utama kenderaan berat.
Lebih membimbangkan, katanya, laluan itu menjadi sibuk terutama pada waktu puncak berikutan ibu bapa menghantar dan membawa pulang anak dari sekolah.
"Pihak berwajib tolonglah ambil tindakan segera, jangan sampai berlaku kemalangan baru hendak sibuk ambil tindakan,”katanya.
Penduduk, Mat Suwahi Sharif, 42, dari Taman Desa Bukit Permata, pula berkata, pihak berwajib diminta kerap memantau dan melakukan operasi di laluan tersebut.
Katanya, pemantauan berterusan perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
"Keadaan bertambah teruk apabila ada tayar kenderaan pengguna pancit dan pecah akibat kerosakan jalan ini," ujarnya.