BUKIT MERTAJAM - Pengalaman berdepan situasi cemas di tengah laut termasuk menyelamatkan beberapa mangsa tragedi bot karam baru-baru ini membuatkan pencipta kandungan atau YouTuber dikenali sebagai Mohd Khushairi Mohd Zuki lebih menitik beratkan soal keselamatan setiap kali turun memancing.
Tidak kira memancing di kawasan sungai ataupun laut dalam, pemilik saluran Chai Fishing yang kini mempunyai lebih 300,000 pengikut di YouTube berkata, persiapan rapi peralatan terutamanya jaket keselamatan tidak boleh dipandang enteng kerana ia sangat berguna sekiranya pemancing terpaksa menempuh sebarang kejadian tidak diingini.
Berkongsi pengalaman bersama rakan menyelamatkan empat nelayan warga Indonesia yang terapung selama empat hari di tengah laut berhampiran Pulau Jarak pada Rabu lalu, Mohd Khushairi berkata, mereka bernasib baik kerana dapat berpaut pada tong ikan dan botol yang diikat pada badan masing-masing.
Jelasnya, kesemua nelayan asing itu ditemui sudah tidak bermaya seperti 'nyawa-nyawa ikan' selepas bot mereka karam dilanggar kapal dagang ketika menangkap ikan di perairan Indonesia.
"Mereka bernasib baik kerana masih boleh berpaut pada tong ikan dan botol yang diikat di pinggang.
"Sebab itu pemancing dan nelayan wajib memakai jaket keselamatan ketika berada di tengah laut...Tak guna kalau ada batang joran dan mesin yang mahal sekiranya mereka mengabaikan aspek keselamatan yang boleh menyelamatkan nyawa kerana nyawa tiada nilainya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Bandar Perda di sini, pada Jumaat.
Mohd Khushairi berkata, selepas kesemua nelayan asing itu berjaya dibawa naik ke atas bot, mereka diberikan rawatan awal dan makanan sebelum diserahkan kepada pasukan keselamatan untuk tindakan lanjut.
Tidak menafikan hobi memancing yang menjadi aktivitinya sejak 20 tahun lalu mempunyai pelbagai risiko dan sebarang kemungkinan, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu berkata, pemancing perlu sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling termasuk cuaca dan keadaan air laut.
Katanya, sikap sentiasa peka dalam kalangan kaki pancing perlu menjadi amalan agar keselamatan semua termasuk komuniti maritim lain dapat dijaga bersama.
Mengimbau insiden seorang paramotor yang terhempas pada empat tahun lalu di Sungai Merbok, Kuala Muda, Mohd Khushairi berkata, dia bersama tiga lagi rakan pemancing lain terus bergegas memberikan bantuan awal selepas menyedari terdapat objek pelik terapung di laut.
"Mujur ada yang perasan dengan insiden itu dan berjaya menyelamatkan mangsa yang nyaris lemas akibat terperangkap di bawah payung terjun.
"Disebabkan ketika itu bot yang kami naik agak kecil, kami terpaksa menarik mangsa hingga ke tepi pantai sebelum kembali ke tengah laut menyelamatkan peralatan serta kipas paramotor mangsa," jelasnya.
Sementara itu, Mohd Khushairi berkata, pengalamannya hampir lemas ketika mandi sungai bersama rakan sekampung pada usia 12 tahun membuatkan dia mula belajar berenang dan lebih berhati-hati ketika berada di kawasan berisiko.
Tambahnya, dengan kemahiran berenang dan sikap berani yang dipupuk arwah ayahnya sejak kecil lagi menjadikannya insan yang prihatin selain mampu berbakti kepada masyarakat lain.
"Arwah ayah lah yang pupuk minat memancing kerana sejak kecil lagi dia akan bawa saya turun ke laut menangkap ikan setiap kali kami pulang ke kampung.
"Dia juga yang banyak mengajar untuk saya menjadi seorang yang berani termasuk pengalaman kami menyelamatkan orang yang nyaris lemas ketika mandi di kawasan air terjun suatu ketika dahulu," kongsinya lagi.
Tambahnya, peluang membantu menyelamatkan nyawa orang lain selama ini tidak diharap dibalas dengan sanjungan mahupun penghargaan sebaliknya beliau mahu masyarakat tidak memandang serong terhadap penggemar aktiviti memancing termasuk dirinya yang kini digelar nelayan moden.