PASIR PUTEH - Lebih 1,000 penduduk di Kampung Banggol Pak Esah di sini terjejas apabila terowong pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kampung berkenaan ditakungi banjir akibat hujan lebat.
Seorang penduduk yang juga kontraktor, Azrin Mohamad, 46, berkata, hujan sejak 8.30 malam Khamis itu menyebabkan air setinggi 0.6 meter bertakung di dalam terowong berbentuk C terbabit dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan.
"Penduduk menggunakan laluan utama ini untuk keluar dan masuk dari Kampung Banggol Pak Esah ke Bukit Abal.
"Sejak dua tahun lepas, kami berkali-kali berdepan masalah sama, terbaru bermula semalam (Khamis) air dalam terowong semakin tinggi kerana hujan masih berterusan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Azrin berkata, aduan sudah kerap kali dibuat namun tidak menemukan penyelesaian masalah berkenaan sekali gus menjejaskan rutin penduduk selain terpaksa menggunakan laluan alternatif lebih jauh sekitar lima kilometer untuk keluar ke jalan utama.
"Terowong sepanjang 9.1 meter ini dibina lebih rendah 0.9 meter dari aras jalan menyebabkan hujan akan melalui terowong dan terperangkap di dalamnya menjadi seperti kolam.
"Masalah boleh selesai jika jalan di dalam terowong ditinggikan menjadi sama aras dengan jalan di luar terowong,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Ahmad Sanusi Shamsudin, 58, berkata, keadaan tersebut akan lebih buruk jika hujan berterusan dua hingga ke tiga hari yang seterusnya menenggelamkan pula rumah-rumah penduduk dengan paras air sehingga 0.5 meter.
Dia yang bekerja sebagai penoreh getah memberitahu, lebih teruk apabila sungai yang menjadi laluan air sebelum ini sudah ditimbus dengan tanah bagi pembinaan ECRL.
"Walaupun mereka membina laluan air yang lain tetapi tidak cukup untuk menampung kapasiti hujan.
"Lebib 20 rumah penduduk terjejas banjir, walhal sebelum projek terbabit bermula dua tahun lalu, kediaman penduduk tak pernah tenggelam,” katanya.
Justeru, penduduk di kampung berkenaan mengharapkan tindakan segera diambil untuk menyelesaikan masalah yang menyukarkan mereka menjalani urusan harian itu terutama melibatkan anak-anak bersekolah dan warga emas sakit berulang-alik ke hospital.