Makin ramai bantah kadar baharu cukai Ipoh

Iklan
Ahmad Humaizi (kiri) menyerahkan surat-surat bantahan penduduk mengenai kadar baharu cukai kepada MBI di Bangunan MBI di sini pada Jumaat.

IPOH - Semakin ramai warga bandar raya Ipoh yang mengemukakan bantahan terhadap kadar baharu cukai taksiran sebanyak sembilan peratus yang akan dilaksanakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Ketua Badan Bertindak Bantah Cukai Ipoh, Ahmad Humaizi Din Mustafaha berkata, pihaknya menerima lebih 3,000 surat bantahan yang dihantar oleh penduduk secara fizikal dan e-mel.

Iklan
Iklan

Menurutnya, biarpun kempen yang digerakkan untuk orang ramai membuat bantahan itu dibuat pada saat akhir, jumlah bantahan terus meningkat.

Ahmad Humaizi (berdiri) menyampaikan taklimat kepada penduduk Taman Klebang Jaya mengenai keperluan bantahan dibuat terhadap kadar baharu cukai taksiran MBI di sini pada Khamis.

"Kita adakan beberapa sesi pertemuan dan taklimat bersama penduduk di beberapa taman perumahan di sekitar Klebang, maklum balas yang kami terima amat baik.

Iklan

"Mereka mulai sedar betapa pentingnya bantahan yang perlu dibuat kepada pihak MBI mengikut saluran ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian selepas mengadakan taklimat bersama penduduk Taman Klebang Jaya di sini pada Khamis.

Ahmad Humaizi berkata, setiap hari lebih 100 surat bantahan diterima menerusi e-mel yang disediakan oleh pihaknya untuk memudahkan orang ramai menyatakan bantahan berkenaan.

Iklan

Menurutnya, dengan adanya bantahan yang begitu ramai akan membuktikan bahawa pemilik hartanah di bandar raya Ipoh tidak bersetuju dengan kadar cukai baharu yang dikemukakan pihak berkuasa tempatan itu.

Jelasnya, biarpun tarikh 22 November 2024 merupakan hari terakhir untuk orang ramai menghantar bantahan, usaha untuk memastikan kadar baharu cukai itu tidak dilaksanakan atau disemak semula akan diteruskan.

Sinar Harian pada 19 November lalu melaporkan Badan Bertindak Bantah Cukai Ipoh mahu lebih banyak persatuan penduduk tampil menyuarakan bantahan terhadap kenaikan cukai taksiran oleh MBI yang bakal dilaksanakan tahun hadapan.

Suara bantahan diperlukan agar PBT terbabit boleh melakukan semak dan imbang sebelum kadar baharu diluluskan.

Pada minggu lalu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin memaklumkan, keputusan sama ada mengekal atau menurunkan kadar cukai baharu yang dikenakan MBI adalah bergantung kepada bantahan yang dibuat oleh warga Ipoh.