LIPIS - Keluhan pengguna yang berdepan kesesakan khususnya ketika musim perayaan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) akan dapat diatasi menjelang 2027.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, masalah itu dapat diatasi apabila proses naik taraf Lebuhraya KLK siap menjelang penghujung 2026.
Menurutnya, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga bakal disiapkan dalam tempoh sama dan ia sekali gus memberikan kemudahan buat pengguna.
"Akhir 2026 ECRL akan siap dan beroperasi pada 2027 kemudiannya naik taraf jalan Lebuh Raya Karak ke KL juga akan siap pada 2026.
"Sepertimana yang saya katakan lagi cuma empat perayaan lagi kita akan hadapi ini (kesesakan luar biasa), harap penguna dapat bersabarlah," katanya.
Beliau berkata sedemikian dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Pahang Rail Tourism di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Kuala Lipis di sini pada Jumaat.
Sebelum ini,Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang Dewan Rakyat pada 4 November lalu memberitahu projek pelebaran lorong tambahan Lebuhraya KLK untuk menangani isu kesesakan terutamanya pada musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu dijangka bermula pada Januari hadapan.
Jelas Wan Rosdy, kerajaan negeri memberi perhatian kepada keselesaan pengguna jalan raya yang melalui laluan terbabit dengan turut merangka pelan jangka pendek dalam mengatasi masalah kesesakan di lebuh raya terbabit.
Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri telah meluluskan dua projek jalan demi kemudahan dan keselesaan pengguna di Pahang.
"Kita telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk menaik taraf skruktur turapan jalan Sungai Koyan dan RM124,820,000 untuk menaik aras Jalan Jerantut-Kuala Lipis yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat," katanya.