'Hujan lebat dua jam, air penuh atas jalan'

Iklan
Penduduk terpaksa meredah banjir untuk pulang ke rumah masing-masing. Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Banjir kilat setinggi 0.3 meter melanda taman perumahan Teluk Indah, Panji di sini pada Jumaat.

Jururawat, Asmah Mohamad, 48, berkata, hujan lebat seharian itu menyebabkan persekitaran 14 rumah dan satu taksa di taman berkenaan dipenuhi air.

Iklan
Iklan

Asmah

"Hujan lebat dua jam sudah cukup untuk air memenuhi pekarangan dan jalan di taman perumahan ini.

Iklan

"Keadaan berlaku kerana parit kecil yang ada tidak dapat menampung jumlah hujan selain ditambah pula dengan pembinaan rumah-rumah baharu di kawasan sekitar atas tanah yang lebih tinggi dari taman perumahan ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.

Dia yang sudah 22 tahun tinggal di situ memberitahu, keadaan terbabit dialami setiap kali hujan lebat sejak 10 tahun lalu dan hujan yang berterusan selama sehari sahaja sudah membolehkan air masuk ke bahagian dalam rumah.

Iklan

Dapur rumah Asmah dipenuhi air walaupun hujan hanya dua jam. Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID

"Air akan masuk di bahagian dapur rumah dahulu kerana kedudukannya lebih rendah.

"Pernah waktu tidur tidak sedar air naik, saya bangun dari katil jejak kaki dalam banjir. Kami memang sentiasa bersedia dengan meletakkan barangan seperti peti sejuk di tempat lebih tinggi tetapi tidak mahu berterusan begini serta mengharapkan ada penyelesaian,” katanya.

Peti sejuk di rumah Asmah yang diletakkan di tempat tinggi. Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID

Seorang lagi penduduk yang merupakan tukang jahit, Ida Ruhayu Zulkipli, 47, berkata, aduan berhubung perkara itu dibuat kepada pihak berwajib setiap kali berlaku banjir dan pihak berkaitan sudah membina parit di bahagian bawah tanah namun masalah tidak selesai sepenuhnya kerana saiz parit yang kecil.

Ida Ruhayu

"Sangat mencabar untuk saya kerana perlu menjaga keselamatan kain-kain baju belum jahit yang ditempah daripada pelanggan.

"Sekarang ada hampir 200 tempahan dan sebelum ini kain pernah terjatuh ke dalam banjir, jadi saya harap ada pihak datang untuk melebarkan parit ini bagi menampung lebih banyak aliran hujan seterusnya menyelesaikan masalah kami,” katanya.

Ida Ruhayu (kiri) dan Asmah (kanan) melihat parit bersaiz kecil yang menjadi laluan air. Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID

Tambah wanita itu, air berkenaan mengambil masa lama untuk surut bergantung kepada keadaan cuaca, jika hujan maka situasi sama bahkan air itu pula mengeluarkan bau busuk selain menyebabkan kegatalan pada kulit.