PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju untuk menangguhkan Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig yang dijadual dibentangkan di Parlimen bulan depan.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Steven Sim Chee Keong dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.
"Dalam mesyuarat hari ini (Jumaat), saya sahkan perkara ini dibincangkan dan memang Menteri Kesuma berhasrat untuk menangguhkan," katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini.
Ujar beliau, penangguhan tersebut bagi memberi ruang dan peluang agar lebih banyak proses libat urus dengan pelbagai pihak dapat dilaksanakan.
"Tentang garis masa, boleh berhubung dengan Steven Sim," jelas Fahmi.
Sebelum ini enam platform utama ekonomi gig di Malaysia menggesa kerajaan menangguhkan cadangan untuk membentangkan RUU itu pada Disember ini.
Foodpanda, GoGet, Grab, Halo Delivery, Kiddocare dan Lalamove menerusi satu kenyataan memaklumkan, penangguhan itu bagi memberi ruang kepada pihaknya berdialog dengan kerajaan untuk memastikan rangka kerja yang menyeluruh demi manfaat pekerja sektor berkenaan.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memaklumkan kerajaan sedang meneliti pandangan daripada pelbagai pihak dan berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.
Ia susulan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) memberi penarafan gred D iaitu 45.8 peratus terhadap prestasi pemerintahan Kerajaan Madani dalam tempoh dua tahun ini.
"Selain daripada usaha dan ikhtiar, penambahbaikan, perubahan dan juga reformasi termasuk reformasi institusi, insya-ALLAH dalam tempoh berbaki sidang Parlimen kali ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said akan membawa beberapa RUU yang mencerminkan usaha kerajaan.
"Dalam beberapa hari berbaki, kita juga berasakan kemungkinan sejumlah RUU juga akan dibawa ke mesyuarat pertama penggal depan yang akan bermula sekitar Februari 2025," jelas beliau.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan RUU Majlis Media Malaysia sedang dalam proses akhir sebelum di bawa ke Parlimen.
"Kita harap bacaan pertama dalam sidang kali ini.
"Ini adalah komitmen kerajaan untuk menambahbaik termasuk ekosistem bagi para pengamal media," katanya.