Hampir 200 penduduk terkandas, jambatan di Kampung Tanjung Kala dinaiki air

Iklan
Hampir 200 penduduk terkandas selepas jambatan di Kampung Tanjung Kala, Kuala Krai dinaiki air.

KUALA KRAI - Hampir 200 penduduk melibatkan 60 rumah dari Kampung Tanjung Kala dekat Kuala Pertang di sini terkandas selepas jambatan konkrit sepanjang 200 meter dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.

Seorang penduduk Zainuddin Daud, 61, berkata, jambatan berkenaan sering dinaiki air sekiranya hujan lebat berterusan lebih daripada tiga jam.

Iklan
Iklan

"Sejak kecil lagi saya tinggal di kampung ini dan memang tiap-tiap tahun kalau hujan terutama musim tengkujuh, kami akan terkandas.

"Perkara ini dah lama berlaku tapi saya tidak pasti bila jambatan baharu akan siap dibina kerana jika laluan ini terputus ia memberi banyak kesan kepada penduduk kampung,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Kuala Pertang sini pada Jumaat.

Iklan

Bekas pekerja ladang kelapa sawit Yusoff Sidi, 61, pula berkata, beliau tidak teragak-agak untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya keadaan semakin membimbangkan demi menjaga keselamatan diri.

"Ada dua laluan (jambatan) yang boleh kami lalu. Kalau jambatan ini dinaiki air, kami akan pergi ke laluan lagi satu dan jika dua-dua laluan ini tidak boleh lalu memang kami akan terkepung serta perlu segera berpindah ke PPS,” katanya.

Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Kuala Pertang, Adnan Mat Yassin berharap jambatan baharu bagi menggantikan jambatan konkrit yang dipercayai berusia lebih 30 tahun itu dapat disiapkan secepat mungkin bagi memudahkan urusan penduduk terutama ketika musim tengkujuh.

"Kalau tengok memang dah ada pihak yang nak buat jambatan ini tapi sampai sekarang ia tidak siap-siap, jadi saya mohon supaya pihak berkenaan segera siapkan jambatan ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa ketika dihubungi berkata, pihaknya akan melakukan rondaan secara berkala dalam tempoh dua atau tiga jam, bergantung juga keadaan taburan hujan di kawasan terbabit untuk memastikan keselamatan penduduk terjamin. - Bernama