Pulau Pinang catat belanjawan defisit terendah dalam tempoh 14 tahun

Iklan
Kon Yeow bersama Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Zabidah Safar menunjukkan dokumen Belanjawan Pulau Pinang 2025 di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

GEORGETOWN - Pulau Pinang sekali lagi mencatatkan unjuran defisit sebanyak RM33.63 juta dalam Belanjawan 2025 selepas 14 kali mengalami belanjawan defisit sejak 2011.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia merupakan anggaran defisit terendah dalam sejarah Belanjawan Negeri Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

"Dengan mengambil kira anggaran hasil negeri sebanyak RM906.59 juta berbanding anggaran perbelanjaan sebanyak RM940.22 juta, Belanjawan Tahun 2025 menyaksikan anggaran defisit terendah dalam sejarah Belanjawan Pulau Pinang, iaitu sebanyak RM33.63 juta.

"Anggaran defisit ini telah mengambil kira kedudukan baki Akaun Hasil Disatukan Negeri pada 1 Januari 2025 yang diunjurkan sekitar RM50 juta," katanya ketika membentangkan Ucapan Belanjawan 2025 Pulau Pinang di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.

Iklan

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, kerajaan negeri akan meneruskan usaha-usaha bagi tempoh sehingga 31 Disember 2024 untuk mendapatkan baki Akaun Hasil Disatukan yang lebih tinggi.

"Ia bagi memastikan terdapat lebihan hasil sebagai rizab bagi tahun 2026, di samping meneruskan usaha-usaha penjimatan yang tidak akan menjejaskan operasi kerajaan negeri," katanya.

Iklan

Tambah beliau, bagi mengimbangi keperluan perbelanjaan tahun 2025, kerajaan negeri turut memberi fokus terhadap strategi untuk meningkatkan hasil negeri.

"Secara purata, kerajaan negeri menjana hasil sebenar sebanyak RM601.81 juta setahun bagi tempoh lima tahun terkini, iaitu dari tahun 2019 hingga 2023.

"Sekiranya trend kutipan hasil sebenar negeri masih sama, kerajaan negeri cakna risiko kehabisan baki Akaun Hasil Disatukan pada akhir tahun hadapan," katanya lagi.

Oleh demikian, beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan kutipan sebanyak RM906.59 juta sebagai hasil negeri tahun 2025.

"Kutipan itu melibatkan hasil cukai sebanyak RM223.65 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM570.41 juta dan terimaan bukan hasil sebanyak RM112.53 juta.

"Secara perbandingan, anggaran hasil negeri tahun 2025 menunjukkan peningkatan sebanyak RM373.51 juta atau melebihi 70 peratus berbanding anggaran hasil negeri tahun 2024 sebanyak RM533.08 juta," ujarnya.

Jelas beliau lagi, langkah drastik ini membuktikan iltizam kerajaan negeri untuk melipatgandakan usaha meningkatkan kutipan hasil negeri tahun 2025.

"Menerusi komitmen semua jabatan negeri, kerajaan negeri optimis sasaran kutipan hasil tersebut dapat direalisasikan," katanya.