SHAH ALAM - Wanita UMNO menggesa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk membuat permohonan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia susulan kenyataannya yang disifatkan sebagai keterlaluan berhubung kerjasama Pakatan Nasional.
Ketua Wanitanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, kenyataan Guan Eng mengenai dakwaan kerjasama Pakatan Nasional itu dilihat seakan-akan mahu menakut-nakutkan rakyat Malaysia.
"Sebagai seorang yang memegang portfolio penting dalam kerajaan, Guan Eng tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu dan tidak sepatutnya mempercayai cerita tidak benar mengenai Pakatan Nasional yang tidak tahu hujung pangkalnya.
"Malah, kenyataan beliau itu boleh mengelirukan rakyat dan secara tidak langsung boleh menimbulkan salah faham terhadap bukan Islam kepada Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan itu memberitahu Pakatan Nasional merupakan ancaman yang jelas dan nyata terhadap cara hidup Malaysia, selain akan menarik Malaysia ke zaman gelap di bawah sebuah 'kerajaan yang didominasi oleh orang Islam' yang memusuhi minoriti bukan Islam.
Kenyataan beliau itu mengulas spekulasi kononnya Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan kerjasama dengan dua parti terbesar kaum Melayu yang kini parti pembangkang iaitu Pas dan UMNO untuk membentuk Pakatan Nasional.
Dalam pada itu, Noraini berkata, Guan Eng patut sedar dan menerima hakikat bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan selama lebih 60 tahun negara ini dipimpin oleh orang Islam, tidak pernah sekalipun agama dan bangsa lain dipinggirkan.
Menurutnya, disebabkan itulah Malaysia memberi cuti khas mengikut perayaan setiap bangsa malah turut memberi cuti sempena hari Thaipusam.
Katanya, negara ini terbentuk dengan kerukunan dan keharmonian dalam acuan 1Malaysia maka Guan Eng tidak sepatutnya bersikap rasis dan cuba merosakkan minda bukan Islam terhadap agama Islam.