Cuepacs gesa majikan bersedia pelaksanaan pengurangan waktu bekerja

Iklan
Adnan

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa majikan untuk bersedia dalam pelaksanaan pengurangan jam bekerja bagi memastikan ia tidak memberi impak sebaliknya.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, semua pihak perlu terbuka kepada langkah penambahbaikan kualiti kehidupan pekerja untuk mereka menikmati keseimbangan dalam pekerjaan serta kehidupan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengurangan tersebut tidak menjejaskan produktiviti di semua sektor pekerjaan termasuk awam kerana pelbagai langkah telah diambil bagi menyelaraskan kualiti penghasilan terus ditingkatkan.

"Menerusi proses dan sistem teratur yang dilaksanakan kelak, Cuepacs yakin waktu bekerja pendek benar-benar akan membawa kepada peningkatan produktiviti kerana pekerja berasa bersemangat dan dihargai.

Iklan

"Pekerja dapat menikmati hidup yang lebih sihat, bekerja tanpa tekanan dan seterusnya diterjemahkan dengan meningkatkan produktiviti pekerjaan.

"Usaha ini secara tidak langsung dapat mencapai keseimbangan dalam pekerjaan serta kehidupan pekerja di samping tidak menjejaskan produktiviti yang ditetapkan majikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini, Johor sedang mempertimbangkan cadangan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri ini kepada empat hari setengah seminggu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cadangan itu susulan pelaksanaan cuti hujung minggu di negeri ini kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari tahun depan.

Mengulas lanjut, Adnan memberitahu inisiatif dilakukan kerajaan negeri Johor itu selari dengan usaha kerajaan untuk mempertingkatkan produktiviti dan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam terutama dalam memperkasakan perkhidmatan digital.

Jelas beliau, langkah memendekkan waktu bekerja bukanlah suatu perkara yang patut dilihat daripada sudut negatif kerana ia telah dilaksanakan sebelum ini.

"Cuepacs yakin melalui langkah pendigitalan kerajaan di samping agenda mereformasi perkhidmatan awam melalui aspirasi Malaysia Madani tidak akan menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

"Kerajaan tidak akan melaksanakan perkara ini tanpa membuat kajian atau penelitian dengan lebih lanjut,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan telah memulakan beberapa strategi untuk meningkatkan kualiti sektor awam dengan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, mempercepat pendigitalan dan memberi penekanan kepada tadbir urus baik.