SHAH ALAM - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menegaskan bahawa pihaknya tidak menyekat penyertaan mana-mana entiti ke Persidangan Pihak-pihak ke-29 (COP29) yang berlangsung di Baku, Azerbaijan.
NRES dalam satu kenyataan berkata, Malaysia mengamalkan pendekatan ‘seluruh bangsa’ dalam menangani isu perubahan iklim.
"Semua syarikat tempatan dalam persidangan itu terlibat dengan pelaksanaan dasar kerajaan, terutamanya Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan menyumbang kepada usaha mencapai sasaran iklim yang ditetapkan negara.
"Adalah penting untuk tiada sektor dalam negara kita dikecualikan daripada penyertaan atau tanggungjawab dalam perjuangan menentang perubahan iklim, termasuklah sektor swasta,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, sebuah badan pemerhati alam sekitar mendakwa Malaysia telah menghantar 151 delegasi yang mewakili kepentingan perniagaan menyertai COP29.
44 daripadanya merupakan wakil syarikat yang mempunyai pelaburan signifikan dalam pengembangan bahan api fosil atau merupakan sebahagian daripada badan-badan perdagangan mewakilinya sekali gus menjadikan mereka sebagai delegasi korporat.
Pengkategorian syarikat bahan api fosil menurut badan pemerhati alam sekitar itu adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan 17 penyertaan; Yinson (dua); Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) empat; Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) lima; Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) satu dan Sarawak Energy Berhad (SEB) 14.
Mengulas mengenai dakwaan itu, NRES memberitahu bahawa Petronas telah memberi komitmen untuk berusaha mencapai sifar bersih menjelang tahun 2050 dengan melabur perniagaan-perniagaan baharu melibatkan tenaga yang boleh diperbaharui dan rendah karbon.
"Sementara itu, penglibatan TNB sebagai sebuah syarikat elektrik multinasional yang berpusat di Malaysia pula memainkan peranan utama dalam NETR, satu komponen utama dalam strategi sifar bersih negara menjelang 2050.
"Kedua-dua TNB dan Petronas (melalui Gentari) juga terlibat dalam pelaburan besar berkaitan tenaga boleh diperbaharui di seluruh dunia. Oleh itu, pengkategorian mereka sebagai ‘pelobi bahan api fossil’ oleh badan pemerhati alam sekitar itu adalah tidak tepat,” ujarnya.
Pada masa sama, NRES turut menegaskan bahawa delegasi korporat itu tidak terlibat dalam rundingan yang membabitkan ahli-ahli Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) yang hanya melibatkan negara-negara berdaulat.
Tegasnya, hanya delegasi yang relevan daripada Malaysia bersama para perunding sahaja yang diberikan pas.
Dalam pada itu, kementerian berkenaan turut menjawab dakwaan tiada sebarang wakil daripada organisasi masyarakat sivil (CSO) diketuai oleh masyarakat Orang Asli atau memberi tumpuan kepada hal ehwal Sabah dan Sarawak yang diberikan pas limpahan untuk menghadiri persidangan tersebut.
Katanya, kebanyakan delegasi yang memegang pas ‘Party Overflow Badges’ itu terlibat dalam program di bawah Malaysia Pavilion yang merangkumi sejumlah 45 sesi selama dua minggu.
"Mereka turut menyertai pavilion-pavilion negara lain yang utamanya bertemakan peralihan tenaga dan menangani perubahan iklim dalam sektor tenaga.
"Harus diingatkan bahawa pendaftaran untuk pas limpahan yang diberikan kepada individu atau mana-mana entiti adalah berdasarkan konsep ‘first come, first serve’ mengikut tarikh yang telah ditetapkan oleh UNFCCC.
"Pada masa yang sama, terdapat juga had kepada jumlah delegasi yang ditetapkan oleh penganjur,” jelasnya.