Suka duka disebalik mesin 

Iklan
Inisiatif yang dilaksanakan kerajaan memberi peluang kepada pekerja sektor E&E mempelajari pelbagai kemahiran baharu. - Gambar hiasan 
SHAH ALAM - Strategi kerajaan untuk meningkatkan produktiviti negara melalui sektor bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E) serta industri hijau bukan sahaja menggerakkan reformasi ekonomi negara ke arah lebih progresif, malah ia memberi limpahan manfaat kepada pekerja, pengusaha kecil dan komuniti.

Inisiatif-inisiatif yang terkandung dalam tiga teras utama Belanjawan 2025 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober lalu merupakan usaha untuk melaksanakan transformasi ekonomi Malaysia kepada negara berpendapatan tinggi dan saksama.

Salah satu teras tersebut ialah menaikkan siling yang bertujuan untuk menstruktur semula ekonomi dan meningkatkan daya saing negara bagi meletakkan Malaysia menjadi peneraju ekonomi rantau Asia.

Perkembangan positif ini juga secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, sekali gus berupaya meningkatkan pendapatan bagi pekerja yang saban tahun telah terperangkap dalam kitaran kos sara hidup tinggi.

MOHD SYAHIR
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Bagi seorang pekerja sektor elektronik, Muhamad Syahir Haziq Mas Husin, 27, fokus yang lebih mendalam ini memberi peluang kepada pekerja E&E dan industri hijau untuk menerokai lebih banyak latihan baharu.

"Langkah dibuat dalam memfokuskan bidang ini (E&E) sebagai salah satu sumbangan terbesar negara adalah tepat. Bidang ini mampu membuka banyak peluang pekerjaan kepada anak muda untuk mendapatkan kerja tetap,” katanya.

Katanya, perkembangan itu secara tidak langsung memberi lebih jaminan kestabilan pekerjaan kepada pekerja yang terlibat dalam industri bernilai tinggi tersebut.

Pandangan sama turut dikongsikan Muhammad Haikal Kamarudin, 22, yang bekerja di salah sebuah kilang elektronik di sini sejak lebih dua tahun lalu.

MOHD HAIKAL 


Menurutnya, selaku salah seorang anak yang turut menyumbang kepada ekonomi keluarga, jaminan kestabilan dalam pekerjaan menjadi antara keprihatinan utama dirinya.

"Saya melihat impak positif melalui inisiatif ini adalah mengenai peluang untuk tingkat pendapatan dan juga memberi ruang untuk terokai kemahiran baharu selari dengan tuntutan industri,” katanya.

Sementara itu, pekerja sektor elektronik, Ahmad Raiz Naufal Rostam, 22, turut menyifatkan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan memberi banyak kelegaan kepada pekerja dalam industri ini.

AHMAD RAIZ


"Sebagai pekerja yang terlibat sudah pasti saya berasa lebih terjamin melalui usaha kerajaan untuk tingkatkan produktiviti negara melalui sektor bernilai tinggi ini.

"Ia bukan sahaja menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menambah pendapatan tetapi juga turut meningkatkan tawaran bagi menambah kemahiran baharu,” katanya.

Bantu usahawan

Seorang usahawan industri hijau, Abol Ismail berkata, peralihan kepada tenaga hijau secara tidak langsung membantu peniaga kecil.

ABOL 


Menurutnya, perniagaan pemasangan unit solar yang diusahakan kira-kira 10 tahun lalu menunjukkan peningkatan permintaan daripada masyarakat yang mahu menggunakan tenaga boleh baharu itu.

Menurut Abol, pengenalan Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) iaitu program insentif khusus untuk menggalakkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) di premis kediaman di bawah program Net Energy Metering (NEM) oleh kerajaan secara tidak langsung memberi manfaat kepada usahawan sepertinya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan, pemasangan sistem solar PV di premis kediaman oleh pengguna domestik merupakan langkah quick wins bagi membolehkan ruang bumbung bangunan dimanfaatkan untuk penjanaan tenaga boleh baharu (TBB).

Ujarnya, mengambil kira potensi besar, pemasangan sistem solar PV di premis kediaman wajar diperluaskan bagi menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan kapasiti TBB dalam sistem pembekalan elektrik kepada 70 peratus menjelang tahun 2050 serta mampu mengurangkan perlepasan karbon oleh sektor bekalan elektrik.

Industri solar semakin berkembang di negara ini.- Gambar hiasan 


Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini turut memaklumkan lebih RM300 juta disediakan di bawah Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara, berbanding RM 100 juta tahun ini bagi memperkukuhkan lagi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Selain itu, bagi meningkatkan capaian tenaga boleh baharu pelbagai inisiatif diperkenalkan antaranya Program Net Energy Metering (NEM) dilanjutkan kepada 30 Jun 2025 agar lebih banyak bumbung premis dimanfaatkan untuk pemasangan solar photovoltaic (PV).

Inisiatif lain ialah Pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) diteruskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM1 bilion sehingga tahun 2026.

Seterusnya, UEM Lestra dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melabur RM16 bilion untuk meningkatkan keupayaan rangkaian transmisi dan pengedaran serta menyahkarbon kawasan perindustrian.

Turut terkandung dalam inisiatif yang baharu diumumkan itu ialah Ikhtiar akses grid terbuka akan dilaksanakan melalui Program Corporate Renewable Energy Scheme (CRESS) untuk membolehkan syarikat korporat memperoleh bekalan elektrik daripada penjana TBB pilihan.

"Secara umumnya, permintaan untuk memasang panel solar di kediaman ketika ini semakin meningkat berbanding beberapa tahun lalu dan ia secara tidak langsung membantu usahawan yang terlibat dalam industri ini,” kata Abol.

Pemilik Bikerz Solar Technology itu berharap agar kerajaan meneliti polisi berkaitan pemberian projek supaya usahawan kecil mempunyai banyak peluang untuk meraih pendapatan dalam industri bernilai tinggi.

Masyarakat perlu sedia terima tuntutan baharu

SYED AGIL 


Pensyarah Kanan Komunikasi dan Media Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berkata, perubahan yang dilaksanakan kerajaan termasuk peralihan tenaga boleh menjana manfaat besar kepada ekonomi kerana ia dapat mengurangkan kos bahan api dan meningkatkan nilai tambah kerana peningkatan permintaan untuk tenaga boleh baharu di seluruh dunia.

"Secara umumnya, saya melihat perspektif untuk menerima perubahan yang dilakukan kerajaan semakin positif dan kita harap momentum ini akan berterusan demi kebaikan bersama,” katanya.

Tambah Syed Agil, pendekatan holistik kerajaan dan industri melalui penyusunan semula ekonomi negara ini dilaksanakan bagi mewujudkan masa depan yang lebih kompetitif dan berpendapatan tinggi.

Katanya, komitmen yang ditunjukkan ini menggariskan kesungguhan kerajaan terhadap pertumbuhan ekonomi yang terangkum dengan hasrat kemakmuran yang dicapai boleh dinikmati oleh semua rakyat Malaysia.



INFO

-Ekonomi Madani yang diluncurkan pada 27 Julai 2023 merupakan kerangka ekonomi negara dalam jangka masa sederhana dengan tumpuan menstruktur semula ekonomi Malaysia ke arah aktiviti bernilai tambah tinggi, lebih berdaya saing dan lestari.

-Antara sektor bernilai tinggi ialah elektrik dan elektronik (E&E) dan industri hijau yang menjadi antara tumpuan untuk peningkatan produktiviti negara.

-Menaikkan siling (salah satu tiga teras utama Belanjawan 2025)

-Teras ini bertujuan untuk menstruktur semua ekonomi dan meningkatkan daya saing negara bagi meletakkan Malaysia menjadi peneraju ekonomi rantau Asia.