Remaja 14 tahun ditemukan lemas dalam tali air

Iklan
Mayat mangsa ditemukan pasukan bomba pada jam 6.29 petang Jumaat.

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang ibu pengsan sebaik mayat anaknya berusia 14 tahun ditemukan akibat lemas di tali air Kampung Padang Enggang, di sini, pada Jumaat.

Mayat, Muhamad Faris Mohd Nor juga pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Kota ditemukan oleh pasukan bomba pada jam 6.29 petang sekali gus menjadi korban pertama Monson Timur Laut (MTL) tahun ini.

Iklan
Iklan

Mangsa dikatakan mandi di tali air berkedalaman lapan meter berkenaan bersama dua lagi rakan lelakinya sekitar jam 5 petang.

Operasi SAR mangsa lemas di tali air Kampung Padang Enggang, Kota Bharu.

Iklan

Bapa saudara mangsa, Rosli Awang Noh, 43, memberitahu dia menerima panggilan telefon dari abangnya, Mohd Nor memberitahu kejadian menimpa anak saudaranya itu.

"Ibu mangsa pengsan tetapi sudah sedar kembali.

Iklan

"Rumah mangsa terletak di Kampung Batu 4 kira-kira sekilometer dari tali air ini,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Bertambah hiba apabila tangisan ahli keluarga yang berada di lokasi makin kuat apabila mayat mangsa dibawa naik ke daratan.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Kota Darul Naim, Pegawai Bomba Kanan Ramli Abdulah yang ditemui pemberita di lokasi berkata, mangsa dipercayai tidak pandai berenang dan mandi berdekatan tebing tali air terbabit.

"Paras air di tali air tersebut juga meningkat kerana hujan lebat sejak semalam (Khamis) selain ada kerja-kerja menggorek kedalaman tali air dilakukan sebelum ini untuk persediaan banjir.

"Keadaan dasar tali air bertanah liat, berselut dan lembik manakala mangsa mandi kemudian dipercayai lemas,” katanya.

Terdahulu, beliau memberitahu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 petang dan tiba enam minit kemudian di lokasi kejadian.

"Pasukan Penyelamat di Air dari Balai Bomba Pengkalan Chepa melakukan pencarian di permukaan air.

"Bomba juga kemudian melakukan selaman dan menjumpai mayat mangsa di dasar sungai hanya 10 meter dari tebing,” kata Ramli.

Tambah beliau, mayat diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.