SHAH ALAM - Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan kerana tayar pancit pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku di Kilometer (KM) 7.9 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) pada jam 12 tengah hari.
Beliau berkata, siasatan mendapati lori membawa muatan tar jalan dari arah Klang ke Kuala Lumpur telah berhenti di lorong kecemasan akibat tayar pancit.
"Sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki berusia 29 tahun telah datang dari arah sama dan melanggar bahagian kanan belakang lori tersebut.
"Kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Tambahnya, mana-mana saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Syahrul Zulkeflee di talian 010-4589850.
"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebar, memuat naik atau berkongsi kandungan gambar mangsa kemalangan melalui media sosial atau mana-mana aplikasi komunikasi.
"Perbuatan tersebut adalah satu kesalahan di bawah undang-undang khususnya Seksyen 211 atau 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," ujarnya.