Muhammad Faiz selar kenyataan Mohamad Hanipa berkait reformasi PM

Iklan
Muhammad Faiz

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil menyelar kenyataan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin yang mempertikai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan reformasi.

Muhammad Faiz berkata, mewujudkan sebuah negara stabil menjadi perkara utama selepas Anwar memerintah dua tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Pelantikan Anwar sebagai PM dibuat secara sah mengikut Perlembagaan Persekutuan di mana beliau mempunyai keyakinan majoriti ahli Parlimen selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15.

"Ini diperkukuhkan lagi dengan usul undi percaya yang dibawa di lantai Parlimen pada 19 Disember 2022.

Iklan

"Jelas, Anwar tidak berkompromi dengan langkah menjadi kerajaan melalui pintu belakang dan berpegang teguh dengan prinsip tulen demokrasi. Bukankah ini satu reformasi yang telah dilaksanakan Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, X pada Jumaat.

Sebelum ini, Mohamed Hanipa berkata, Anwar telah melaungkan ‘reformasi’ sejak pemecatannya dari kerajaan pada September 1998.

Iklan

Menurutnya, Ahli Parlimen Tambun itu mempunyai persediaan selama 24 tahun sebelum menghadapi ‘peperiksaan’.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz memaklumkan berasaskan kepada kestabilan politik, ekonomi negara kembali kukuh dan itu adalah reformasi besar yang sedang berlaku.

Jelas beliau, ringgit di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) melebihi kadar RM4.70 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sementara pemerintahan Anwar menyaksikan pemulihan iaitu sekitar RM4.40.

"Adapun reformasi institusi dibangkitkan, ia memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang mana Anwar perlu mempunyai sokongan dua pertiga majoriti ahli Parlimen.

"Jika sesuatu pindaan tidak mendapat kelulusan Dewan Rakyat, ia akan mewujudkan krisis perlembagaan lagi sekali boleh menggugat kestabilan politik yang akan merencatkan pemulihan ekonomi. Kesannya, rakyat akan menderita sekali lagi,” ujarnya.

Tambah Muhammad Faiz, Anwar sebagai Perdana Menteri telah melaksanakan tugas secara tanggungjawab bersama dan jemaah menteri melakukan beberapa reformasi besar dalam pentadbiran negara.

"Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak sama rata kepada ibu berkaitan kewarganegaraan anak yang lahir di luar negara adalah satu lagi reformasi yang telah berlaku.

"Usaha bersungguh-sungguh Kerajaan Madani untuk meningkatkan pengeluaran padi tempatan juga satu reformasi melalui agenda keterjaminan makanan,” jelas beliau.