KUALA LUMPUR - Vietnam menyatakan minat untuk mempelajari Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dari Malaysia untuk pelajar mereka, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, hasrat itu dinyatakan negara berkenaan ketika pertemuannya bersama Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam di sebuah hotel, di sini hari ini.
"Dalam hal ehwal pendidikan tinggi dan TVET, mereka (Vietnam) menyedari bahawa kita (Malaysia) telah berada di satu tahap dan mereka ingin mempelajarinya.
"Kita turut berbincang mengenai pertukaran pelajar (di institusi pengajian tinggi) kerana mereka (Vietnam) telah menghantar seramai 346 pelajar ke Malaysia, namun setakat ini, kita (Malaysia) tidak menghantar pelajar ke negara itu untuk belajar,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan berkenaan.
Ahmad Zahid berkata, walaupun pertemuan hari ini disertai pemimpin-pemimpin parti namun ia tidak menjurus ke arah perkongsian ideologi, sebaliknya dillakukan atas dasar saling menghormati parti masing-masing.
Terdahulu, pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu turut dihadiri beberapa pemimpin UMNO termasuk Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung UMNO merangkap Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Lam, yang ditemani isteri Ngo Phuong Ly dan delegasi tiba di Malaysia semalam untuk lawatan kerja selama tiga.
Ini merupakan lawatan pertama Lam ke Malaysia sejak dipilih sebagai Ketua Parti Komunis Vietnam pada Ogos tahun ini.
Kali terakhir Malaysia menerima kunjungan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam adalah pada Mac 1994, setahun sebelum penyertaan rasmi Vietnam dalam ASEAN. - Bernama