Rahsia motosikal ulang-alik, rupanya angkut PATI

Iklan
PATI yang cuba dibawa masuk oleh pihak sindiket ke negara ini menggunakan van pelancong Thailand. Foto JIM

PUTRAJAYA - Tindakan sebuah motosikal berulang-alik di sekitar Rantau Panjang, Kelantan terbongkar apabila terlibat dalam sindiket seludup pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya menumpaskan satu rangkaian sindiket penyeludupan manusia dalam satu operasi khas yang dijalankan di daerah itu pada Rabu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, operasi bermula jam 9 malam itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat daripada Pasukan Taktikal Khas (Pastak), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM Putrajaya bersama JIM Negeri Kelantan.

Kata beliau, berdasarkan maklumat serta risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan mengesan sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Iklan

"Pasukan operasi telah bertindak mengepung lokasi, seterusnya berjaya menahan van dan motosikal tersebut.

"Seorang lelaki warganegara Thailand yang dipercayai sebagai 'dalang utama', seorang lelaki warganegara Thailand yang dipercayai sebagai 'transporter' dan dua lelaki warganegara Malaysia serta empat lelaki warganegara Thailand dipercayai sebagai 'ahli sindiket' telah ditahan.

Iklan

Sebahagian PATI ditahan JIM dalam satu serbuan di Rantau Panjang, Kelantan pada Rabu. Foto JIM

"Kesemua yang ditahan berusia antara 34 hingga 67 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Zakaria berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas semua kenderaan, pasukan operasi menahan 13 lelaki dan 22 perempuan warganegara Indonesia, dua lelaki warganegara Thailand, seorang lelaki warganegara Myanmar dan seorang perempuan warganegara Thailand berusia antara 20 hingga 58 tahun.

Jelas beliau, jumlah keseluruhan individu yang ditahan adalah seramai 47 orang.

Tambahnya lagi, pasukan operasi turut merampas 39 pasport terdiri daripada 35 pasport Indonesia dan empat pasport Thailand serta pas sempadan.

Selain itu menurut beliau, pihaknya merampas tujuh unit telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM6,510, Rupiah 706,000 dan Dolar Singapura 11.

"Turut disita enam buah kenderaan terdiri daripada empat buah van Komuter Thailand, sebuah Naza Ria dan sebuah motosikal jenis Honda Wave yang dipercayai digunakan untuk mengangkut PATI," ujarnya.

Zakaria berkata, modus operandi sindiket adalah mensasarkan warganegara asing yang telah disenarai hitam dan ingin memasuki Malaysia.

Beliau berkata, PATI akan dibawa masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram di Rantau Panjang ke destinasi di sekitar Lembah Klang dengan menggunakan van pelancong Thailand.

Kata beliau, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM3,000 hingga RM6,000 untuk seorang PATI mengikut warganegara.

Menurut beliau lagi, sindiket tersebut dipercayai telah beroperasi selama dua bulan.

"Dua lelaki warganegara Malaysia dan enam lelaki warganegara Thailand ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdangan Orang dan Antipenyelupan Migran (ATIPSOM) 2007.

"Sementara warganegara asing yang lain ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.

Katanya, kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa, JIM Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

"JIM amat menghargai maklumat yang disalurkan oleh orang awam sehingga sindiket ini berjaya ditumpaskan.

"Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan ATIPSOM 2007," ujarnya.