Bin Zayed International tarik diri projek Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion

Iklan
Johari (kanan) bersama Sheikh Khaled (kiri) ketika hadir pada Pembukaan Besar Bin Zayed International (M) Sdn Bhd di The Exchange TRX pada Jumaat. Foto Bernama

[DIKEMAS KINI] KONGLOMERAT pelaburan global, Bin Zayed International Group of Companies (BZI) mengesahkan menarik diri secara rasmi daripada projek Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion.

Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Bhd, Datuk Seri Dr Shamir Kumar Nandy berkata, ia kerana mereka mahu memberi tumpuan kepada peluang yang lebih baik.

Iklan
Iklan

"Kami tidak lagi terlibat dengan projek Langkasuka. Sejak 2022, kami memutuskan untuk menarik diri dan memberi tumpuan kepada peluang yang lebih baik, realistik dan potensi lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian pejabat Malaysia kumpulan itu di Tun Razak Exchange di sini pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi BZI, Sheikh Khaled Zayed Saquer Zayed Al Nahyan; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, Pengarah Urusan Kumpulan BZI Sheikh, Midhat Kidwai dan ikon Bollywood Datuk Shah Rukh Khan.

Pada 2021, Widad Business Group Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik dengan BZI untuk membantu membangunkan pembangunan bercampur RM40 bilion yang dikenali sebagai Widad@Langkasuka di Langkawi.

Iklan

Dalam perkembangan sama, Shamir berkata, BZI juga komited untuk melabur sebanyak US$2 bilion (US$1=RM4.466) di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan strategik kami akan memanfaatkan hartanah, tenaga boleh baharu dan perkhidmatan kewangan untuk menarik pelaburan ke Malaysia.

"Terdapat banyak potensi dalam sektor tersebut di Asia Tenggara. Ini adalah sektor yang kita lihat dan US$2 bilion hanyalah penanda aras awal. Ia mungkin lebih daripada itu apabila peluang itu muncul,” katanya.

Selain Malaysia, BZI juga mempunyai pejabat di Singapura.

Shamir berkata syarikat itu telah memulakan beberapa projek hartanah termasuk satu di Kulim, Kedah dan dua di Kuala Lumpur.

Selain hartanah, BZI telah mengenal pasti syarikat dalam sektor tenaga baharu untuk menyokong rancangan pengembangannya di Malaysia.

"Kami telah mengenal pasti syarikat tertentu dan sedang berunding dengan mereka untuk melihat keperluan mereka dalam menjadikan mereka pemain global secepat mungkin," kata Shamir.

Sementara itu, Johari terdahulu terdalam ucapannya berkata, kerjasama antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu adalah cerminan hubungan yang semakin erat antara kedua-dua negara.

"Kami percaya dengan kepakaran, visi dan komitmen BZI terhadap inovasi, Malaysia akan menjadi hab pusat perniagaan di Asia Tenggara.

"Ketika Malaysia melakukan persiapan sebagai pengerusi ASEAN pada 2025, tumpuan kami pada keterangkuman dan kemampanan akan memacu usaha untuk menggalakkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama di rantau ini," katanya.

Johari menekankan bahawa kerajaan terus komited untuk bekerjasama dengan sektor swasta untuk mewujudkan dasar memupuk pertumbuhan dan persekitaran perniagaan yang kompetitif di Malaysia.