PEMBURUAN tiket ke fasa kalah mati Pusingan Akhir Kejohanan Badminton Remaja Allianz (AJBC) 2024 menyaksikan saingan sengit kategori perseorangan lelaki dan wanita Bawah 15 (B-15) tahun pada Jumaat.
Dua pemain teratas setiap kategori kumpulan berpeluang untuk melangkah ke pusingan suku akhir kejuaraan pembangunan pelapis berkenaan.
Perseorangan lelaki menyaksikan Joshua dan Jack Yak Ka Hei sudah mengesahkan kemaraan bagi Kumpulan A.
Saingan Kumpulan B pula menyaksikan Lim Zheng Jie menempah slot suku akhir selepas menang tiga perlawanan
Satu lagi slot akan menyaksikan saingan antara Athan Yang Zhi Yung dan Teng Cheng Yao setelah kedua-dua berkongsi dua mata dan perlu menang perlawanan terakhir kumpulan pada Sabtu.
Athan akan berdepan Edwin Soong Pei Xuan manakala Cheng Yao menanti pendahulu kumpulan Zheng Jie.
Sementara itu, saingan Kumpulan C menyaksikan penguasaan Tan Kean Wei yang menang semua tiga perlawanan dengan berbaki satu perlawanan.
Kean Wei, bakal diiringi Chew Ze Hong atau Nur Izz Danish Rosni Zamuddin Shah yang berkongsi dua mata selepas tiga perlawanan.
Perlawanan terakhir kumpulan, Danish akan berdepan Kean Wei manakala Chew Ze Hong menentang Kua Ming Ze.
Kumpulan D pula menyaksikan Cheong Kai Sheng mengungguli selepas menang tiga perlawanan.
Kai Sheng akan diiringi Albee Loh Cheng Yi yang mengumpul tiga mata selepas melengkapkan empat aksi peringkat kumpulan.
Saingan kategori B-15 tahun wanita menyaksikan Low Zi Yu menepati ramalan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan
Low Zi Yu berkongsi mata dengan Annabelle Gan Tze Zhen yang turut mengekalkan kemenangan 100 peratus selepas mengharungi tiga perlawanan.
Zi Yu dan Annabell yang telah mengesahkan kemaraan akan bertarung bagi menentukan juara dan naib juara Kumpulan A.
Teoh Sue Mei pula mengungguli Kumpulan B sekaligus ke suku akhir, menyaksikan satu lagi slot Kiera Wong Yin Xuen dan Chen Siew Siew yang berkongsi dua mata selepas mengharungi tiga perlawanan.
Kiera Wong akan berdepan A Bavaanya sementara Chen Siew Siew melayan Sue Mei.
Dalam pada itu, R Loshini pula mara ke suku akhir selepas mengungguli Kumpulan C setelah mencatat kemenangan 100 peratus tiga perlawanan dengan baki satu perlawanan.
Satu lagi slot bagi kumpulan C diisi Wafa Shahmina Rahman yang menduduki tempat kedua dengan dua mata.
Kumpulan D pula menyaksikan penguasaan Nur Aina Maisarah Muhd Hatta selaku pendahulu juga dengan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan untuk menyambar slot suku akhir.
Satu lagi slot akan ditentukan Eva Tham Ann Qi dan Deirdre Gianna Michael yang berkongsi dua mata dan kedua-dua pemain ini akan berentap pada perlawanan terakhir kumpulan.