SEREMBAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih menjalankan kajian lanjut berhubung keperluan penggunaan kamera badan (BWC) untuk anggota penguat kuasa agensi itu.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), Datuk Jazmanie Shafawi berkata, kajian secara menyeluruh perlu dilakukan sebelum ia dapat dilaksanakan kelak.
"Sememangnya ada keperluan untuk anggota penguat kuasa kita menggunakan BWC ini tetapi ia masih lagi di peringkat kajian awal.
"Kita telah pun menjalankan satu siri ujian bukti konsep (POC) mengenai perkara ini sebelum ia betul-betul dapat dilaksanakan," katanya ditemui pemberita selepas hadir Ops Bersepadu JPJ Negeri Sembilan di Plaza Tol Senawang di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf.
Menurutnya, penggunaan BWC dapat meningkatkan integriti pasukan itu ketika melaksanakan aktiviti penguatkuasaan dan pada masa sama meningkatkan tahap kepercayaan masyarakat terhadap anggota JPJ.
Dalam pada itu katanya, sebanyak 51,421 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan JPJ kepada pengguna motosikal dalam tempoh 22 hari pelaksanaan Ops Khas Motosikal bermula 1 November lalu.
Jelasnya, ia membabitkan pemeriksaan terhadap 243,240 motosikal yang mana 36,673 daripadanya telah diambil tindakan dan 1,812 telah disita.
"Sepanjang tempoh operasi itu, lima kesalahan paling tinggi direkodkan iaitu tiada lesen memandu kompeten (CDL) sebanyak (19,080) diikuti Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (14,163) dan tiada insurans (12,794).
"Selain itu nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi(4,040) dan CDL tamat tempoh(1,344)," katanya.
Jazmanie berkata, seramai 1,299 pemandu atau penunggang motosikal melibatkan warga asing dan 146 pula melibatkan bawah umur.
Tambahnya, daripada 239 penunggang motosikal yang dikehendaki membuat ujian saringan air kencing, 10 daripadanya didapati positif dadah.
"Pihak JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu atau pembonceng motosikal yang gagal mematuhi peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa," katanya.