Pahang catat jumlah jualan AS$63.9 juta di MIHAS, Dubai

Iklan
Wan Rosdy

KUANTAN - Pahang mencatatkan kejayaan luar biasa melalui penyertaan di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Dubai, baru-baru ini dengan jumlah jualan keseluruhan sebanyak AS$63.9 juta.

Iklan
Iklan

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah ini, AS$8.7 juta merupakan hasil jualan sebenar, manakala AS$55.2 juta pula adalah potensi jualan yang diunjurkan.

Menurutnya, kejayaan ini adalah hasil usaha enam peserta pameran dari Pahang, yang berjaya mengetengahkan produk halal berkualiti tinggi di peringkat antarabangsa.

Iklan

"Prestasi ini jelas membuktikan bahawa produk halal dari Pahang mempunyai daya saing dan keupayaan untuk memenuhi permintaan pasaran global.

"Acara MIHAS@Dubai telah menjadi platform strategik untuk mempromosikan produk halal Pahang yang berkualiti tinggi, inovatif, dan berdaya saing," katanya dalam satu kenyataan pada malam Jumaat.

Iklan

Wan Rosdy berkata, penyertaan ini juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk menyokong usahawan tempatan dalam menembusi pasaran antarabangsa, selaras dengan aspirasi Pahang sebagai peneraju dalam industri halal.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam kejayaan ini.

"Tahniah juga kepada MATRADE yang dipengerusikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican atas kejayaan menganjurkan MIHAS@Dubai yang penuh bermakna ini," ujar beliau.

Sehubungan itu, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan kepada usahawan tempatan agar mereka dapat memanfaatkan peluang yang lebih luas di peringkat global.

Jelasnya, kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama Pahang, tetapi turut membuktikan potensi besar negeri ini sebagai pusat pengeluaran dan inovasi halal.

"Insya-ALLAH, pada tahun hadapan saya berharap agar lebih ramai pengusaha dan syarikat dari Pahang menyertai MIHAS untuk mengambil peluang menerokai industri halal di luar negara," katanya.