'12 pemain Kedah beraksi demi Nafuzi’

Iklan
Sony (kanan) mengakui kagum dengan semangat pemain KDA FC biarpun berdepan isu kewangan. Foto KDA FC

KETUA pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sony Norde mendedahkan terdapat pemain kelab tersebut membuat keputusan pada saat akhir tidak mahu beraksi pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2024-2025 bertemu Kuala Lumpur City FC.

Walau bagaimanapun selepas perbincangan diadakan pada sesi taklimat, petang Jumaat bersama Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain, seramai 12 pemain bersedia diturunkan.

Iklan
Iklan

"Disebabkan masalah gaji, ada pemain ambil keputusan tidak mahu bermain pada malam ini.

"Namun ada pemain bermain sebab ketua jurulatih kerana beliau salah seorang yang selalu berjuang untuk kami dan disebabkan itu 12 pemain bersetuju beraksi untuknya," katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan pada malam Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu, penyerang berusia 35 tahun itu juga mengesahkan terpaksa membuat keputusan sukar meninggalkan KDA FC untuk menyertai sebuah kelab di Liga Indonesia.

Menurutnya lagi, dua gol yang dijaringkannya menewaskan KL City 3-2 adalah hadiah buat penyokong Sang Kenari malah tidak menjangka KDA FC dapat memenangi perlawanan itu walaupun hanya dibarisi 12 pemain sahaja.

Iklan

"Pengurusan perlu melakukan sesuatu sebelum aksi timbal balik kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Kuala Lumpur pada 1 Disember ini.

Jika masalah ini tidak selesai saya tidak pasti mereka mahu beraksi pada perlawanan ini ataupun tidak," ujarnya.

Jelas Sony, dia berjanji untuk memberikan segala-galanya membantu Sang Kenari agar dapat layak ke pusingan seterusnya sebelum berlepas ke Indonesia pada 5 Disember ini.

Tambahnya, satu perjanjian persetujuan sudahpun dicapai dengan pengurusan KDA FC dan dia mempunyai tempoh lebih kurang seminggu untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.

"Selepas lama berada di Liga Malaysia, saya membuat keputusan demi keluarga saya.

"Saya akan ke Indonesia selama enam bulan manakala keluarga saya masih tinggal di Kedah kerana anak bersekolah di sini.

"Sukar untuk saya membuat keputusan ini (meninggalkan KDA FC) tetapi dengan keadaan sekarang (masalah kewangan), demi keluarga saya perlu pergi," katanya.