PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola berjanji akan terus setia bersama kelab itu walaupun berkemungkinan disingkirkan daripada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) susulan dakwaan pelanggaran kewangan.
Guardiola baru sahaja menyambung kontrak selama dua tahun selepas pelbagai spekulasi mengenai masa depannya selepas kontrak asal tamat pada akhir musim ini.
Iklan
Iklan
"Saya berkata enam bulan lalu, apabila semua kelab menuduh kami melakukan sesuatu yang salah, apa juga yang berlaku jika kami diturunkan, saya akan tetap berada di sini," katanya.
Liga Perdana mendakwa City atas 115 pertuduhan peraturan kewangan pada Februari 2023 selepas memulakan siasatan lima tahun sebelum itu.
Tuduhan berkaitan dengan tempoh 14 musim dari 2009-10 terdiri daripada 54 pertuduhan gagal memberikan maklumat yang tepat, 14 pertuduhan gagal memberikan butiran tepat untuk pembayaran pemain dan pengurus, tujuh pertuduhan melanggar peraturan keuntungan dan kemampanan Liga Perdana.
Selain itu, lima pertuduhan gagal mematuhi peraturan UEFA termasuk permainan adil kewangan (FFP) dan 35 pertuduhan gagal bekerjasama dengan siasatan Liga Perdana mulai 2018.
City menafikan sekeras-kerasnya semua pertuduhan itu, dan mendakwa dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebagai respons kepada pertuduhan awal bahawa mereka mempunyai 'bukti yang tidak dapat disangkal' untuk menyokong pendirian mereka.