KUALA LUMPUR - Siasatan mengenai kes simbah asid membabitkan pemain Selangor FC, Faisal Halim tidak pernah dihentikan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Menurutnya, sejak siasatan dibuka, pihaknya telah mengambil keterangan seramai 23 individu dan menahan tiga suspek bagi membantu siasatan.
"Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah membuat siasatan secara terperinci namun tiada bukti dapat mengaitkan ketiga-tiga suspek dengan kes terbabit.
"Hasil analisis forensik terhadap telefon ketiga-tiga suspek mendapati tiada bukti atau perbualan yang mereka terlibat dalam kes itu. Pemeriksaan terhadap akaun-akaun bank mereka juga tiada sebarang transaksi wang meragukan atau upah bayaran ditemukan,” katanya pada Sabtu.
Mengenai nombor plat motosikal yang digunakan pelaku semasa kejadian, Razarudin berkata, semakan mendapati ia adalah nombor pendaftaran palsu.
Berikutan itu, katanya, polis telah mengeluarkan fotofit suspek bagi mendapatkan bantuan dan maklumat orang ramai.
"Walaupun pelbagai usaha dibuat pihak polis, kita tidak pernah menghentikan siasatan dan menunggu sekiranya terdapat maklumat baharu bagi kes ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh tampil dan menyalurkan ke pihak polis,” ujarnya.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu maklumat berkenaan untuk didedahkan susulan usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan terhadap atlet sukan diluluskan sebulat suara pada persidangan lepas.
5 Mei lalu, Penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 berusia 26 tahun itu menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Petaling Jaya, menyebabkan beliau mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan.
Kecederaan yang dialami oleh tonggak Harimau Malaya menyebabkan dia terpaksa menjalani empat pembedahan sebelum dibenarkan keluar hospital.
Faisal kemudian tampil buat kali pertama pada 13 Jun di hadapan umum dalam sidang akhbar.