SHAH ALAM - Individu atau pihak yang memungut zakat di Selangor tanpa tauliah dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berdepan tindakan tegas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Seksyen 37 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 memperuntukkan didenda tidak melebihi RM3, 000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya terhadap amil zakat tanpa tauliah.
Menurutnya, peruntukan itu turut menyatakan pihak yang memberi laluan atau membenarkan perbuatan tersebut akan dikenakan hukuman sama jika sabit kesalahan.
"JAIS mengingatkan bahawa perbuatan membayar zakat kepada pemungut zakat tidak ditauliahkan MAIS adalah suatu perbuatan tidak melepaskan kewajipan zakat wajib.
"Perkara ini jelas dan selaras dengan ketetapan hukum oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 8 Ogos 2024 yang telah diperkenankan oleh Sultan Selangor.
"Menerusi ketetapan itu, pembayaran zakat dibuat kepada individu atau badan lain yang tidak diberi kuasa sah itu adalah tidak sah dan pembayarnya masih tidak terlepas daripada kewajipan membayar zakat itu," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Mohd Shahzihan berkata, JAIS telah mengeluarkan arahan pematuhan dan langkah kawalan berhubung kutipan zakat, wakaf dan infak di masjid dan surau seluruh Selangor melalui surat pekeliling bertarikh 11 November 2024.
"JAIS menyedari ada segelintir individu dan pihak menggunakan masjid atau surau yang menamakan kutipan infak mereka sebagai zakat.
"Perbuatan sedemikian adalah suatu kesalahan dan penderma yang menderma atas niat zakat adalah tidak sah dan tidak melepaskan kewajipan zakatnya," katanya.
Ujarnya, pentadbir masjid dan surau turut boleh dikenakan tindakan kerana melakukan kesalahan menyebabkan perbuatan mengutip zakat tanpa tauliah dilakukan.
"Dalam perkara ini, seluruh umat Islam dan semua pihak hendaklah memberi sokongan dan kerjasama penuh terhadap peraturan berkuat kuasa dan hukum ditetapkan oleh pihak berkuasa agama.
"Ketaatan kepada ulil amri atau pemerintah dalam perkara kebaikan adalah suatu yang telah diputuskan dalam Islam dan ia mencakupi segala urusan termasuk urusan kutipan zakat.
"Peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah adalah demi menjaga hak dan kepentingan zakat tersebut," jelasnya.
Tambah beliau, kutipan zakat di Selangor adalah sangat penting untuk sentiasa berada pada jumlah signifikan berdasarkan bilangan pembayar yang wajib menunaikan zakat.
Katanya, jumlah penduduk beragama Islam di Selangor melebihi 3.6 juta orang dan had kifayah fakir miskin yang meningkat memerlukan jumlah dana agihan turut menjadi tinggi.
Jelasnya, sehingga September lalu, terdapat 71,000 keluarga asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor dan memerlukan dana sebanyak RM 1.36 bilion untuk menyantuni mereka.
"Jika dana zakat dikutip dan diagihkan dengan cara melanggari ketetapan dibuat, ia bukan sahaja mengundang implikasi undang-undang dan ketetapan hukum, bahkan akan menyebabkan berlaku ketirisan dan kekangan dalam menjamin sustainability pembangunan rohani dan sosioekonomi dan umat Islam di Selangor.
"Justeru, umat Islam yang berkewajipan mengeluarkan zakat atau fitrah hendaklah memastikan hanya membayar zakat kepada amil yang dilantik," katanya.
Pada masa sama, beliau meminta orang awam melaporkan kepada JAIS jika terdapat perbuatan disyaki melanggar ketetapan peraturan dan hukum yang dikuatkuasakan mengenai urusan membayar dan pengagihan zakat di Selangor.