GEORGE TOWN - Kerajaan negeri masih menunggu keputusan akhir ujian makmal yang akan disahkan oleh agensi teknikal berhubung masalah selut tebal dan berbau busuk di Pantai Esen di Batu Maung.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, sehingga kini masih tiada bukti yang menunjukkan bahawa punca pencemaran disebabkan oleh kerja-kerja penambakan Silicon Island.
Beliau mengesahkan kerja-kerja penambakan yang dilakukan ketika ini mematuhi garis panduan Jabatan Alam Sekitar (JAS) termasuk Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang telah diluluskan.
"Langkah-langkah yang ketat juga diambil seperti penggunaan langsir kelodak dua lapis.
"Kita perlu faham bahawa kawasan ini sememangnya kawasan lumpur semula jadi dan kejadian baru-baru terjadi juga atas faktor peningkatan alga atau ‘algae bloom’," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Zairil berkata, alga bukan sesuatu yang terhasil daripada kerja-kerja penambakan.
Beliau menjelaskan peningkatan alga berlaku mungkin disebabkan terdapat efluen dari hulu sungai berhampiran yang mengalir ke laut.
Selain itu, katanya, di kawasan sekitar juga terdapat beberapa aktiviti pertanian dan juga sebuah loji rawatan kumbahan.
"Hasil tinjauan mendapati tiada alga yang terlekat atau membiak dalam kawasan langsir kelodak dan ini menunjukkan bahawa sumbernya bukan dari tapak projek tambakan Silicon Island.
"Kita masih menunggu keputusan akhir ujian makmal yang akan disahkan oleh agensi teknikal terbabit dan saya mohon semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu ini,"katanya lagi.
Pada Jumaat, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S Sundarajoo berkata, kerajaan Pulau Pinang akan mengambil beberapa langkah untuk mengatasi masalah selut tebal dan berbau busuk di Pantai Esen di Batu Maung.
Beliau berkata, satu mesyuarat akan diadakan bersama Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital untuk membincangkan perkara tersebut.
"Kita pernah bermesyuarat dan akan mengadakan satu lagi mesyuarat dengan konsultan serta kontraktor projek untuk membincangkan beberapa cadangan tindakan yang boleh diambil.
"Saya mengambil maklum tentang masalah ini yang mana saya sendiri turun padang dua minggu lalu. Memang berlaku selut tebal. Kita tidak menolak kemungkinan ia disebabkan oleh projek tambakan yang berdekatan.
"Semua projek mesti ada kesan sampingan dan kita sebagai kerajaan negeri tidak akan lepas tangan. Beberapa cadangan tindakan sedang dibincangkan," katanya.