KUANTAN – Minat mendalam terhadap motosikal RXZ mendorong seorang tukang masak wanita menunggang lebih 700 kilometer (km) dari Arau, Perlis ke Cherating untuk menyertai Program Himpunan RXZ Wanita Malaysia yang berlangsung pada Sabtu.
Sanira Abdul Hamid, 35, berkata, walaupun terpaksa menempuh perjalanan mencabar, namun kepuasan bertemu lebih 350 ahli Kelab RXZ Wanita Malaysia selama tiga hari dua malam di Cherating ternyata berbaloi.
"Saya bertolak dari Arau, jam 6 pagi kelmarin (Khamis) secara solo, sebelum bertemu rakan lain di Kedah. Alhamdulillah saya tiba di Cherating semalam (Jumaat).
"Boleh dikatakan sepanjang perjalanan hujan tetapi bersyukur kerana sampai di sini dan berkumpul bersama ahli dari seluruh negeri di Semenanjung," katanya ketika ditemui di sebuah hotel di Cherating di sini pada Sabtu.
Majlis perasmian program itu disempurnakan Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan.
Turut hadir, Presiden Kelab RXZ Wanita Malaysia, Siti Shafida Abdul Ghani.
Ibu kepada lima anak itu memberitahu, minatnya terhadap motosikal RXZ bermula kerana keunikan jentera dua roda itu selain kelihatan lebih 'padu' apabila ditunggangi wanita secara solo ketika berada di jalan raya.
Walaupun ramai melihat hobi ini sebagai sesuatu yang mahal, namun bagi Sarini, kepuasan yang diperolehinya jauh lebih bernilai.
"Kalau minat, apa sahaja halangan kita sanggup hadapi, macam saya dua tiga tahun lalu (simpan duit) baru dapat beli motosikal RXZ," luahnya.
Sementara itu, Presiden Kelab RXZ Wanita Malaysia, Siti Shafida berkata, himpunan ini diadakan di Kuantan kerana hampir 70 peratus ahli kelab berasal dari Pahang.
Menurutnya, kelab ini sudah tiga tahun ditubuhkan, kini memiliki 535 ahli berdaftar dan jumlahnya dijangka meningkat.
"Kalau ikutkan ahli kelab terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti guru, jururawat, polis dan juga usahawan.
"Kami juga sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan Malaysia Book of Records untuk program ini. Namun, apa yang lebih penting ialah hubungan antara ahli kelab menjadi lebih erat,” katanya.