Hasrat naik pentas konvokesyen bersama suami tidak kesampaian

Iklan
Ezuria Edora Dzafrul Akhtar, 30, menunjukkan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Organisasi) kepada anaknya Ezriq Aisy Faiqal, 7, (kanan) dan Elise Arish Elliya, 5, pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-62 pada Sabtu. Foto Bernama

Iklan
Iklan

GEORGE TOWN - Hasrat seorang wanita untuk naik ke pentas menerima skrol bersama suami tidak kesampaian apabila lelaki itu dijemput Ilahi bulan lepas.

Ezuria Edora Dzafrul Akhtar, 30, berkata, dia dan suami Isma Farid Idris, 30, yang juga kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sepatutnya menghadiri konvokesyen itu bagi menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Organisasi), malah mereka cukup teruja menanti tibanya hari ini, namun takdir menentukan sebaliknya.

Iklan

"Hari itu arwah ada kejohanan futsal di Setapak dan dia rebah ketika bermain sebelum disahkan meninggal dunia, bedah siasat mengatakan saluran jantungnya tersumbat.

Ezuria Edora Dzafrul Akhtar, 30, menunjukkan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Organisasi) kepada anaknya Ezriq Aisy Faiqal, 7, (kanan) dan Elise Arish Elliya, 5, pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-62 pada Sabtu. Foto Bernama

"Suami memang seorang yang aktif dan boleh dikatakan setiap minggu dia akan bermain bola dan bersukan. Memang dia tak ada sejarah sakit sebelum ini jadi ia memang satu kejutan,” katanya ketika ditemui selepas menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM) di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), di sini pada Sabtu.

Iklan

Pegawai Imigresen Selangor itu berkata, kehilangan Isma Farid sememangnya amat dirasai apatah lagi mereka telah saling mengenali sejak darjah satu.

Menurutnya, dia dan suami bukan sahaja sekampung di Genting Highlands malah sekelas dari sekolah rendah ke Tingkatan Tiga sebelum masing-masing terpisah ketika di Tingkatan Empat kerana berbeza aliran.

Mereka berkahwin pada 2016 dan dikurniakan sepasang cahaya mata Ezriq Aisy Faiqal, 7, dan Elise Arish Elliya, 5, yang menurut wanita itu memberinya kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Terdahulu, Ezuria Edora menerima skrol Ijazah Anumerta arwah suaminya yang disampaikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.

Turut hadir ibu bapa Allahyarham Isma Farid, Nor Hayati Abdul Wahab, 61, dan Idris Ahmad, 64.

Nor Hayati mengakui sebak tetapi pada masa sama berasa bangga dengan kejayaan arwah memperoleh ijazah.

"Arwah anak ketiga daripada empat beradik dan merupakan anak lelaki tunggal. Kali terakhir mak cik jumpa arwah dua minggu sebelum dia meninggal di Shah Alam, ketika itu kami sekeluarga keluar makan bersama.

"Dia suruh mak cik pakai baju putih datang konvokesyen nanti tapi dia tak beritahu isteri dia. Masa itu juga dia hadiahkan mak cik minyak wangi dan minta pakai nanti.

"Hari ini, kami tunaikan hasrat dia, semua ahli keluarga datang (konvokesyen) pakai baju putih,” katanya dalam nada sebak. - Bernama