LABUAN - Wartawan yang telah berkhidmat dalam bidang penulisan sejak lebih lima dekad Sohan Das, 81, hari ini menerima bantuan kewangan di bawah inisiatif Tabung Kasih @ HAWANA.
Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Nik Kamaruzaman Nik Husin yang melawat beliau di kediamannya di Kerupang Satu di sini, bersama dengan rombongan dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Nik Kamaruzaman ketika ditemui berkata sumbangan besar wartawan itu kepada bidang penulisan memberi inspirasi kepada ramai bakal pemberita.
Rombongan dari Bernama disertai oleh ketua pegawai eksekutif Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Jabatan Komersil Mastura Hassan; Ketua Hal Ehwal Korporat Mariati Mohd Arif; Pengurus Kanan Bahagian Jualan Penyiaran Farhan Mustafa Kamal; dan pewarta Labuan Jailani Hasan.
Sohan merupakan seorang daripada 196 yang menerima yang menerima manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA sejak inisiatif itu diperkenalkan pada April tahun lepas.
Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 untuk menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang menghadapi kesukaran.
Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan dilaksanakan menerusi Bernama, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu komuniti media yang memerlukan.
Sohan, yang kini bersama akhbar harian tempatan Labuan Daily Express melahirkan rasa terima kasih atas pengiktirafan itu dan berkongsi pandangannya mengenai landskap kewartawanan yang semakin berkembang.
Beliau berkata, di sebalik cabaran yang dihadapi oleh industri, termasuk peningkatan platform digital, beliau tetap optimis tentang masa depan kewartawanan dan keupayaannya untuk menyesuaikan diri dengan teknologi baharu sambil kekal berpegang kepada prinsip terasnya, untuk memaklumkan dan mendidik orang ramai.
Wartawan veteran itu memulakan kerjayanya pada 1970-an dengan pelbagai akhbar tempatan dan pernah menyertai Bernama untuk tempoh singkat 1976-1977, diikuti dengan tugasan dengan akhbar harian nasional dan juga Reuters. - Bernama