[VIDEO] Penduduk gesa pihak berwajib segera tangani masalah pencemaran sungai

Iklan

KULAI - Penduduk Kampung Tawakal, Kempas, di sini meminta pihak wajib segera menangani permasalahan pencemaran Sungai Tebrau di kampung berkenaan agar ia tidak berlarutan dan menjejaskan kehidupan masyarakat setempat.

Mereka mendakwa pencemaran berkenaan dipercayai akibat pembuangan sampah haram di tebing sungai berkenaan sejak dua tahun kebelakangan ini termasuk sisa ternakan di kawasan terbabit.

Iklan
Iklan

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan terbabit mendapati air sungai di situ turut menjadi keruh dipercayai akibat pencemaran berkenaan.

Longgokan sampah yang dapat dilihat di tebing Sungai Tebrau di Kampung Tawakal, Kempas pada Sabtu. Gambar kecil: Abu Ubaidah, Asiah dan Jamian

Penduduk yang ditemui, Datuk Abu Ubaidah Kemin, 60, berkata, masalah berkenaan telah berlarutan hampir dua tahun dan menimbulkan bau busuk terutamanya ketika hujan.

Iklan

Malah dia mendakwa kecurian pasir turut berlaku di kawasan berkenaan apabila lori-lori besar dilihat sering memasuki kawasan terbabit.

"Di tebing kawasan kampung ini berlakunya pencemaran sungai akibat pembuangan sampah serta pembakaran sampah secara terbuka hingga menyebabkan pencemaran udara, bau dan pemandangan.

Iklan

"Di hulu sungai pula berlaku kecurian pasir yang boleh dilihat hampir setiap hari selain pembuangan bahan sisa kilang.

"Oleh itu, diharapkan pihak berwajib seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat segera bertindak agar keadaan di sini dapat dibaik pulih secara menyeluruh sekali gus sungai ini dapat memberikan sumber air yang bersih kepada penduduk," kata pada Sabtu.

Seorang lagi penduduk, Datin Asiah Yunos, 60, berkata, masalah pencemaran di sungai berkenaan telah mengakibatkan masalah pencemaran bau yang ketara di kawasan sekitar.

Menurutnya, perkara berkenaan turut memberikan kesan kepadanya terutamanya kain baju yang di cuci berbau busuk dipercayai akibat aktiviti pembakaran yang dilakukan.

Kelihatan lori yang didakwa membuang sampah di tebing sungai berkenaan.

"Selain itu, bila hari hujan, sampah-sampah di sini akan dihanyutkan ke sungai dan menyebabkan pencemaran.

"Sampah-sampah yang mendap di dasar sungai pula menyebabkan air sungai naik dengan tinggi hingga melimpah ke kawasan rumah penduduk.

"Jadi saya harap pihak berwajib seperti pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang melakukan pencemaran berkenaan," katanya.

Sementara itu, Jamian Simin, 87, turut berharap agar pihak berkuasa dapat segera membantu menyelesaikan permasalahan tersebut.

Katanya, jika dibiarkan keadaan akan menjadi bertambah buruk pada masa akan datang

"Saya minta supaya pihak yang berkuasa untuk menyelesaikan masalah ini kerana sampah yang ada di tepi sungai kalau dibiarkan, mereka akan buang sampah sesuka hati.

"Jadi kita sebagai orang tua, kita kena tegur supaya tindakan dapat diambil dan sampah tidak lagi dibuang di tepi sungai. Kita kalau buang satu beg plastik pun sudah salah apatah lagi satu lori yang datang buang sampah," ujarnya.