JOHOR BAHRU - Tindakan seorang pekerja kedai emas mencuri sebentuk cincin dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasangnya sendiri di sebuah dipremis di Taman Daya di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek lelaki berusia 41 tahun itu ditahan pada Jumaat selepas semakan CCTV dilakukan.
Iklan
Iklan
"Kejadian dilaporkan berlaku Sabtu lalu apabila suspek yang diarahkan oleh majikannya untuk memasang CCTV didapati telah mencuri sebentuk cincin emas seberat 16.01 gram bernilai RM5,814.32.
"Suspek kemudiannya bertindak memajak cincin terbabit di sebuah kedai emas sekitar Johor Bahru dan memperoleh hasil sebanyak RM4,950," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, hasil maklumat yang diperolehi, suspek ditangkap di Ulu Tiram pada Jumaat dan polis turut merampas barang-barang rampasan termasuk baju, seluar, kasut serta surat pajak gadai.
"Hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
"Suspek kini ditahan reman selama empat hari mulai hari ini sehingga Selasa bagi membantu siasatan," katanya.