Tular kucing ditarik guna tali, polis serah Jabatan Perkhidmatan Veterinar

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan seorang individu didapati mendera seekor kucing pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang individu yang melakukan penderaan terhadap kucing mengundang padah apabila perbuatannya itu dirakam sebelum tular di media sosial pada Sabtu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, laporan berkaitan kejadian dibuat seorang individu yang melihat video kejadian kira-kira jam 5.26 petang ketika berada di sebuah pusat beli-belah di ibu kota.

Iklan
Iklan

"Pengadu melihat video berkenaan yang memaparkan seorang individu tidak dikenali melakukan penderaan terhadap seekor kucing dengan cara menarik tali yang diikat pada leher kucing berkenaan.

"Video terbabit turut memaparkan satu alamat dipercayai lokasi kejadian di bahagian ruangan komen," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Katanya, susulan itu individu terbabit kemudiannya tampil membuat laporan polis berhubung video berkenaan.

"Laporan polis ini telah dihantar ke Bahagian Penguatkuasa Jabatan Veterinar Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Iklan

"Kes ini dirujuk kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan selanjutnya dan siasatan dijalankan Jabatan Veterinar di bawah Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015," katanya.