BANDARAYA GAZA - Seorang lagi wartawan Palestin terbunuh dalam serangan udara tentera Israel di Gaza, menjadikan jumlah wartawan yang terkorban sejak 7 Oktober tahun lepas kepada 189, menurut Pejabat Media Gaza.
Menurut laporan Agensi Anadolu (AA) yang memetik kenyataan pejabat itu pada Sabtu, mangsa, Wael Ibrahim Abu Quffa merupakan seorang wartawan dan pensyarah di Jabatan Kewartawanan dan Media, Universiti Islam Gaza.
Pejabat Media Gaza mengecam pembunuhan itu dan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak segera, menyifatkan serangan ke atas wartawan sebagai tindakan sistematik.
Pihaknya turut menggesa organisasi antarabangsa dan kerajaan agar"mengheret Israel ke muka pengadilan di mahkamah antarabangsa serta mendesak Israel menghentikan genosid yang sedang berlangsung di Gaza.”
Israel telah melancarkan serangan yang disifatkan sebagai genosid di Gaza sejak 7 Oktober tahun lepas, mengorbankan lebih 44,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 104,000 yang lain.
Genosid yang memasuki tahun kedua itu terus mendapat kecaman antarabangsa, dengan pelbagai pihak menyifatkan serangan dan sekatan bantuan sebagai usaha sistematik untuk memusnahkan populasi di Gaza.
Dalam langkah bersejarah, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Khamis mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga sedang menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangan yang memusnahkan Gaza. - Bernama