Air pancut purba Kestros di Turkiye berfungsi kembali selepas 1,800 tahun

Iklan
Air pancut purba Kestros yang dibina pada abad kedua semasa pemerintahan Maharaja Hadrian Rom kini kembali mengalir selepas 1,800 tahun setelah menjalani pemulihan. Foto Agensi

Iklan
Iklan

ANTALYA (Turkiye) - Air pancut purba Kestros yang dibina pada abad kedua semasa pemerintahan Maharaja Hadrian Rom kini kembali mengalir selepas 1,800 tahun setelah menjalani pemulihan, lapor Agensi Anadolu (AA).

Pemulihan air pancut Kestros yang terletak di Perge, sebuah kota bersejarah berhampiran Antalya --bandar peranginan terkenal di Turkiye -- bermula dua tahun lepas sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghidupkan kembali keindahannya.

Iklan

Kini, air kembali mengalir daripada air pancut itu, yang asalnya mendapat bekalan daripada Sungai Kestros -- kini dikenali sebagai anak Sungai Aksu -- melalui sistem terusan yang rumit.

Timbalan Ketua Ekskavasi Perge Aytac Donmez berkata, air daripada air pancut air itu mengalir melalui saluran sepanjang 700 meter yang menuju ke sebuah kolam.

Iklan

Beliau berkata, setakat ini, hanya 100 meter pertama yang telah dipulihkan dengan perancangan untuk melaksanakan pembinaan semula dan pemuliharaan secara menyeluruh.

"Kami berhasrat melengkapkan pemulihan secara holistik dan mempamerkan keajaiban ini sepenuhnya,” kata Donmez.

Air pancut ini dihiasi dengan patung berbaring yang melambangkan dewa sungai purba, Kestros dan dijangka menarik lebih ramai pelancong sekali gus meningkatkan kepentingan budaya di wilayah itu.

Dikenali sebagai satu daripada bandar Rom yang paling teratur di Anatolia dan terkenal dengan ukiran marmarnya, Perge pernah menjadi ibu kota wilayah Pamphylia.

Ekskavasi di tapak itu telah dijalankan sejak 1946 dan telah menemui pelbagai struktur monumental seperti menara, teater, stadium, tempat mandi, dan jalan-jalan dengan deretan tiang.

Kota purba itu telah disenaraikan dalam Senarai Tentatif Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 2009. - Bernama