SHAH ALAM - Pegawai pentadbiran dan pengurusan harta Kumpulan Karangkraf, Norosalmawati Salehuddin, 53, meninggal dunia di Hospital KPJ Selangor di Seksyen 20 di sini pada petang Sabtu.
Allahyarhamah yang telah berkhidmat selama 30 tahun di Karangkraf menghembuskan nafas terakhirnya akibat penyakit autoimun yang dihadapi sejak dua bulan yang lalu.
Suami arwah, Mohd Khalil Hasan, 57, berkata, isterinya mengadu sesak nafas kira-kira jam 5 pagi pada Sabtu sebelum dikejarkan ke hospital.
"Mangsa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.45 petang,” katanya.
Jelas Mohd Khalil, arwah isterinya sebelum ini sering berulang -alik menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Allahyarhamah meninggalkan dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan berusia 30, 26 dan 23 tahun.
Jenazah disempurnakan di Masjid-Al-Ubudiah, Seksyen 19 sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Chenor, Pahang untuk disemadikan.
Sementara itu, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub ketika ditemui menyifatkan sumbangan arwah cukup besar kepada Karangkraf.
"Arwah adalah seorang yang komited dan tegas ketika berkhidmat dan masih datang bekerja walaupun tidak sihat.
"Jasa dan sumbangan Allahyarham akan dikenang dan diingati oleh seluruh warga kerja dan pengurusan tertinggi Karangkraf,” katanya.