PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sering menjadi subjek kontroversi berkaitan tindakan dan dasar pemerintahannya, terutama yang berkaitan dengan konflik Israel-Palestin.
Terbaharu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap pada Khamis terhadap Netanyahu atas tuduhan jenayah perang yang didakwa dilakukannya di wilayah Palestin, termasuk Gaza.
Berikut adalah 10 tindakan atau keputusan yang dianggap kejam atau kontroversi Netanyahu, hingga beliau digelar sebagai penjenayah perang.
1. Serangan ke atas Gaza, Perang Gaza 2014
Di bawah kepimpinan Netanyahu, serangan besar-besaran dilancarkan ke atas Gaza.
Pada tahun 2014, Israel melancarkan serangan darat selama tiga minggu terhadap pejuang Hamas, ia menyebabkan lebih 2,000 kematian, kebanyakannya orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak.
2. Pembinaan Penempatan Haram
Netanyahu secara aktif menyokong pembinaan penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki, yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Pada tahun 2020, Israel meluluskan 2,166 kediaman baharu di penempatan di Tebing Barat.
Meskipun keputusan itu telah melanggar semua resolusi yang disahkan di peringkat antarabangsa, termasuk Resolusi 2334 yang menganggap semua penempatan Israel di tanah negara Palestin tidak sah, Israel tetap dengan tindakan melanggar undang-undang mereka.
3. Sekatan di Gaza
Rejim Zionis di bawah kepimpinan Netanyahu terus menghalang penghantaran dan pengagihan bekalan bantuan ke Genting Gaza di tengah-tengah perang genosid yang sudah berlarutan sekian lama.
Malah ribuan rakyat Palestin terkesan atas tindakan tidak berperikemanusian itu.
4. Pembunuhan Kanak-Kanak Palestin
Serangan udara dan tembakan tentera Israel semasa era Netanyahu sering mengorbankan kanak-kanak Palestin.
Rekod Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menunjukkan ratusan kanak-kanak Palestin terbunuh dalam konflik bersenjata setiap tahun.
5. Operasi Pembunuhan Aktivis Mavi Marmara (2010)
Tentera Israel menyerang kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza, membunuh beberapa aktivis.
Dalam kejadian 31 Mei 2010 itu tentera laut Israel menembak sembilan aktivis di atas flotila itu yang membawa bantuan ke Gaza.
Ia mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia kerana tindakan itu disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.
6. Penahanan Tanpa Bicara
Netanyahu mempertahankan undang-undang yang membenarkan penahanan rakyat Palestin tanpa bicara selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Ribuan rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, ditahan tanpa keadilan.
7. Pengusiran Keluarga Palestin di Sheikh Jarrah
Di bawah dasar Netanyahu, keluarga Palestin di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur diusir untuk memberi laluan kepada pendatang Yahudi.Kesannya berlaku peningkatan ketegangan dan keganasan di kawasan tersebut.
8. Pelaksanaan Undang-Undang Negara Yahudi
Netanyahu menyokong undang-undang 'negara bangsa Yahudi' yang diluluskan Parlimen Israel pada 19 Julai 2018.Undang-undang itu menetapkan Israel sebagai sebuah negara Yahudi sekali gus meminggirkan hak minoriti Arab.
Udang-undang itu menjadikan Hebrew sebagai bahasa kebangsaan dan mentakrifkan kewujudan komuniti Yahudi sebagai kepentingan negara.
9. Kekerasan Terhadap Penunjuk Perasaan Palestin
Tentera Israel menggunakan peluru hidup terhadap penunjuk perasaan di sempadan Gaza, menyebabkan ratusan terbunuh dan ribuan cedera pada insiden di tahun 2019.
Perbuatan ini menunjukkan Israel melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang dikritik oleh badan antarabangsa.
10. Penggunaan Kekerasan Sistemik dan Apartheid
Netanyahu sering dituduh menginstitusikan sistem apartheid terhadap rakyat Palestin, dengan memisahkan mereka melalui undang-undang, tembok keselamatan, dan sekatan pergerakan.
Ia menyebabkan ketegangan antara Israel dan Palestin semakin memuncak, dengan kebencian yang semakin mendalam. - Agensi